Bukit Juru akan dibangunkan jadi lokasi pelancongan baharu

Bukit Juru akan dibangunkan jadi lokasi pelancongan baharu
Gooi Hsiao Leung(lima dari kiri) bersama agensi kerajaan terlibat bersama meninjau kawasan hutan rekreasi di Bukit Juru.

Bukit Juru dan sekitarnya akan dibangunkan sebagai satu destinasi tarikan pelancongan bagi pelancong tempatan dan asing.

Bagi merealisasikan aspirasi tersebut, satu jawatankuasa dengan matlamat untuk membangunkan eko-pelancongan di Bukit Tengah ditubuhkan.

Demikian dinyatakan oleh Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.

Gooi Hsiao Leung.

Jelas beliau lagi, proposal ini telah pun diperincikan kepada Exco Pelancongan Negeri sejak tahun lepas dengan mencadangkan Bukit Juru dan kawasan sekitarnya ke dalam pelan induk pelancongan Pulau Pinang.

“Bagi memastikan ianya menjadi realiti, beberapa penganjuran program dan aktiviti tarikan ke destinasi tersebut telah pun dianjurkan.

“Jamboree berbasikal di Bukit Juru telah diadakan pada Disember yang lalu sehingga berjaya menarik lebih 400 penyertaan.

“Keseriusan ini terbukti melalui penubuhan jawatankuasa yang turut dianggotai oleh beberapa organisasi seperti Thinkcity, Autocity serta badan bukan kerajaan seperti Penang Water Watch, ” ujarnya lagi.

Malah kata Gooi, selain itu ia juga dianggotai oleh pensyarah dari USM, KDU Penang School of Hospitality, Tourism and Cultural Arts, JAS, JPS, MPSP, MPKK, agensi kerajaan, perhutanan dan sebagainya.

Tegasnya, ahli jawatankuasa yang dilantik terdiri dari mereka yang mempunyai kepakaran bidang masing-masing.

“Dengan adanya komitmen yang pelbagai dari semua pihak maka adalah diharapkan aset semula jadi kawasan seperti Bukit Juru dan Sungai Juru dapat dipromosikan.

“Begitu juga dengan warisan budaya yang terdapat di kawasan sekitar kampung-kampung yang berdekatan seperti Kampung Baru, Perkampungan Juru.

“Sungai Juru yang juga menarik seperti Amazon boleh menjadi daya tarikan pelancong tidak lama lagi melalui beberapa siri perancangan yang akan diberi perhatian serius tidak lama lagi, ” tambahnya.