Malaysia Dateline

Bukit Katil Digital hubungkan komuniti dengan informasi terkini

Bagi menghubungkan komuniti Dun Bukit Katil kepada semua pihak berkuasa, jabatan dan agensi berkaitan wakil rakyatnya Adly Zahari hari ini melancarkan Bukit Katil Digital.

Menurut Adly, Bukit Katil Digital adalah Pusat Khidmat Rakyat Digital yang Pertama di Malaysia yang berperanan sebagai pusat sehenti untuk segala informasi, komunikasi dan aktiviti komuniti DUN Bukit Katil.

Katanya, Bukit Katil Digital bukan sahaja laman sesawang yang memaparkan maklumat terkini berkenaan DUN Bukit Katil, namun ia juga diperkasakan oleh sistem interaktif dua hala antara penduduk tempatan dan pentadbir Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Katil.

Antara fungsi yang ditampilkan dalam Bukit Katil Digital termasuklah Aduan, Permohonan e-Bantuan, Pendaftaran Perniagaan untuk usahawan Bukit Katil, temujanji dan pelbagai lagi.

Majlis perasmian Bukit Katil Digital yang telah disempurnakan oleh Presiden AMANAH Mohamad Sabu sempena Konvensyen Parti Amanah Negara peringkat Nasional 2020 yang diadakan di Melaka bermula semalam.