Kes Bukit Kepong hanya mainan politik, kata Mat Sabu

Kes Bukit Kepong hanya mainan politik, kata Mat Sabu

Usaha pihak tertentu untuk mensensasikan dan mempolitikkan kes Bukit Kepong bukanlah semata-mata untuk membela anggota polis tetapi lebih kepada menarik sokongan orang Melayu agar menyokong Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, kata Mohamad Sabu.

Usaha pihak tertentu untuk mensensasikan dan mempolitikkan kes Bukit Kepong bukanlah semata-mata untuk membela anggota polis tetapi lebih kepada menarik sokongan orang Melayu agar menyokong Umno pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, kata Mohamad Sabu.

Presiden Amanah itu berkata, seseorang boleh menjadi mangsa fitnah yang dibuat oleh media di Malaysia.

“Itulah keadaan media di Malaysia. Mereka boleh mensensasikan sesuatu perkara dan seseorang itu boleh menjadi mangsa fitnah yang dibuat.

“Saya bersyukur di atas pembebasan dari tuduhan ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pada 31 Mac lalu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang mengekalkan keputusan membebaskan Mohamad daripada dua tuduhan memfitnah berhubung tragedi serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong, pada 1950.

Ketika membacakan penghakimannya, Hakim Lim Chong Fong mengekalkan sabitan tidak bersalah Mahkamah Sesyen Butterworth dan menolak rayuan pendakwaraya.

Mohamad yang juga bekas timbalan presiden Pas didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan balai polis Bukit Kepong berhampiran Muar daripada serangan gerila komunis Malaya pada 23 Februari 1950.

Mohamad atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu mengakui, setiap tahun menjelang kemerdekaan beliau sering memberi ceramah untuk mengulas mengenai kemerdekaan tanah air.

“Saya sering memberi pandangan terutama berkait pejuang-pejuang kemerdekaan yang dianggap oleh kami dari parti pembangkang, tidak diutarakan nama mereka seperti Datuk Ahmad Boestaman, Pak Sako, Dr Burhanuddin Al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar Al-Bakir dan lain-lain lagi.

“Hanya nama Tunku Abdul Rahman dan Datuk Onn sahaja yang sering dikemukakan oleh kerajaan.

“Saya akui kedua-dua mereka memang bersama berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan.

“Namun, adalah tidak adil jika kita menyembunyikan nama-nama lain yang juga terlibat secara langsung dalam perjuangan kemerdekaan,” ujarnya.

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya pada tahun 2011, menjelang merdeka, dakwanya lagi, apabila ucapannya di Padang Menora disensasikan begitu hebat oleh akhbar Utusan dan TV3.

“Di Mahkamah Tinggi, kes rayuan pendakwa terhadap tuduhan ke atas saya menghina polis yang terlibat dalam kes Bukit Kepong, dibacakan oleh hakim.

“Ucapan sebenar saya jika dibandingkan dengan laporan Utusan Malaysia dan TV3, jelas sangat berbeza. Banyak perkara yang saya tidak sebut, seperti Wong Peng, Tun menjadi ketua serangan bersama lebih 200 anggota komunis termasuklah Utusan melaporkan saya berkata kononnya ada kanak-kanak dilempar dalam unggun api dalam serangan itu.

“Sudah tentulah ianya menimbulkan kemarahan di kalangan rakyat Malaysia kususnya bekas tentera dan bekas polis yang berkhidmat sebelum merdeka.

“Lebih 1000 report dibuat terhadap saya. Ceramah saya dibaling batu oleh pihak tertentu. Pintu pagar rumah saya cuba dibakar dan beberapa orang bekas tentera dan polis hadir ke rumah saya di Pulau Pinang untuk berdemonstrasi.

“Ancaman fizikal terhadap saya dibuat beberapa kali dan ada aduan yang saya sendiri laporkan kepada pihak polis. Hampir sebulan dalam bulan Ramadhan saya dikecam begitu hebat di semua media-media perdana.

“Hasil perbicaraan Mahkamah Tinggi kelmarin, hakim memutuskan rayuan oleh pihak pendakwa ditolak. Tiada berita yang keluar secara besar-besaran seperti mereka sensasikan berita Bukit Kepong dulu.

“Hanya dilapor oleh laman-laman web dan berita online. Hebahan itu dapat dibaca oleh orang ramai,” ujarnya.

Walau bagaimanapun beliau melahirkan rasa syukur kerana hubungannya dengan pihak polis masih mesra dan professional.

“Setiap kali saya bertemu pihak polis untuk menguruskan himpunan aman, atau dipanggil oleh polis selepas satu-satu himpunan, suasananya masih mesra dan professional tak kira mereka berpangkat bawah atau tinggi,” tambahnya.

Pada Jumaat,  Peguam yang mewakili Mat Sabu, Hanipa Maidin berkata, Hakim juga memutuskan kata-kata bekas naib presiden Pas itu dalam ceramahnya bukan satu fitnah.

“Hakim juga menyatakan yang Utusan Malaysia juga dalam laporannya mengenai ceramah Hj Mohd Sabu telah mereka-reka atau menambah nambah ( embelished ),” ujarnya.

TAGS