Malaysia Dateline

Buktikan keikhlasan, bincang Belanjawan 2021 secara kolektif

Kerajaan Perikatan Nasional dan parti-parti pembangkang dicadangkan supaya penyediaan Belanjawan 2021 dilakukan secara kolektif antara mereka bagi mempastikan ia akan diluluskan sebagaimana titah Yang Dipertuan Agong.

Bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkata, pemimpin parti-parti yang ada ahli dalam Dewan Rakyat boleh mencadangkan kepada Perdana Menteri supaya penyediaan Belanjawan dilakukan secara kolektif, dibahaskan untuk pengetahuan umum dan diputuskan secara konsensus.

“Oleh sebab kesuntukan masa, mungkin perbincangan mengenai draf Belanjawan dibuat secara pre-council dan pindaan dilakukan ketika perbahasan,” cadang beliau.

Kaedah ini, katanya, mungkin di luar kebiasaan (unconventional) dan, boleh jadi juga bercanggah dengan peraturan, tetapi adalah lebih baik daripada Usul Belanjawan digunakan untuk tujuan undi tidak percaya atau tidak dapat diluluskan langsung.

“Rang Undang-undang Belanjawan ini terlalu penting untuk dijadikan bahan peras ugut politik.

“Namun ini tidak sekali-kali bermakna kerajaan Muhyiddin Mohd Yassin akan diberikan laluan mudah atau tidak akan dicabar dalam hal-hal lain,” kata beliau.

Bagi beliau, kalau parti-parti politik serius mengenai pernyataan sokongan kepada titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya mengutamakan kepentingan rakyat jelata dan negara, mereka boleh membuktikannya melalui Usul Belanjawan 2021.

“Inilah perkara dalam agenda sidang Parlimen mulai 2 November ini yang paling ditakuti oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga mereka mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong supaya mengisytiharkan darurat,” katanya.

Walaupun mereka menggunakan penularan Covid-19 sebagai alasan namun matlamat sebenar mereka adalah bagi mengelak kemungkinan undi tidak percaya melalui Usul Belanjawan.

Kerajaan PN akan terus dipersoalkan kesahannya dari segi kecukupan sokongan ahli Dewan sehinggalah ia membuktikannya secara telus.