Malaysia Dateline

Buktikan KPN baru lebih hebat dengan kenalpasti pelakon video Sandakan

Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah akan menjadi lebih hebat dari Tan Sri Abdul Hamid Bador jika beliau berjaya mengenalpasti individu dalam video di Sandakan, kata tokoh media, Datuk A Kadir Jasin.

Ini kerana katanya, Hamid walaupun dikatakan hebat, tetapi beliau gagal mengenalpasti watak-watak dalam video itu kerana kononnya video itu kabur.

Malaysia, katanya, memerlukan KPN yang lebih hebat lagi berbanding Hamid Bador.

“Abdul Hamid hanya berjaya cam salah seorang daripada dua pelakon video berahi (passionate) Sandakan.

“Kalau Acryl Sani berjaya cam dua atau lebih watak dalam video terbaru ini, dia memang “hands down”.

“Kalau nak lagi hebat, dia boleh “review” atau siasat balik video Four Points by Sheraton itu.

“Sekiranya dia cam pelakon yang Abdul Hamid tak cam, memanglah dia hebat,” katanya yang juga bekas Penasihat Media kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, jika ramai pihak yang menganggap Abdul Hamid hebat,”kita mahu Acryl Sani jadi IGP yang lebih hebat,”

“Lagipun dia kena buktikan secara sahih yang dia bukan ‘budak’ sesiapa,” kata beliau lagi dalam tulisan di Facebooknya itu.

Kadir menulis, dalam beberapa hari kebelakangan ini timbul pula cerita dan rakaman video yang didakwa membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor yang juga Setiausaha Politik kepada seorang Menteri Kabinet dari Bersatu.

Seperti selalu, katanya, dia pun menafikan kandungan video itu dan mendakwa dia mangsa fitnah.

“Dia pun menafikan juga yang dia ada menghantar surat mengenai perkara itu kepada Perdana Menteri, Mahiaddin Md. Yasin @ Muhyiddin,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, boleh jadi inilah peluang Ketua Polis Negara yang baru, Acryl Sani membuktikan beliau lebih hebat daripada KPN yang baru bersara, dengan membuka kertas siasatan berkaitan dengannya.