Malaysia Dateline

Buktikan pemimpin PH berprinsip dan tidak amal kronisme, kleptokarasi

Azmi Alang

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) termasuk para pimpinan kabinet harus mempunyai prinsip dan pendirian dalam memacu negara kearah hala tuju yang lebih baik jika dibandingkan dengan pimpinan Umno dan BN sebelum ini.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Tasek Gelugor, Azmi AlangĀ  berkata, tindakan segelintir pimpinan Umno termasuk yang memenangi kerusi Parlimen mengisytiharkan diri keluar parti dan didakwa cuba melepaskan diri dari dikaitkan dengan dakwaan rasuah semasa berada dalam kabinet Najib tidak seharusnya dibiarkan.

“PH mempunyai prinsip dan pendirian untuk menjauhi amalan rasuah dan tidak mahu pimpinan yang terpalit dengan amalan tersebut berada dalam kepimpinan parti maupun kerajaan.

“Dalam konteks ini sekiranya terdapat mana-mana pimpinan maupun Ahli Parlimen Umno yang didakwa terlibat dalam kes rasuah harus disiasat dan tidak dilepaskan.

“Kita tidak harus mengamalkan sikap ‘double standard’ kepada mana-mana pihak samada semasa berada bersama Umno ataupun ketika melompat masuk ke PH, ” ujarnya ketika ditemui semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai fenomena pemimpin Umno muktahir ini bertindak keluar meninggalkan parti mereka dan desas-desus kemungkinan lebih ramai lagi akan keluar Umno dan menyertai parti dalam gabungan PH kelak.

Beliau yang juga merupakan bekas YDP Perkasa Pulau Pinang turut berkata, seharusnya pimpinan Umno terlibat berjuang dalam pembangkang bagi menegakkan kebenaran yang mereka hasratkan.

“Janganlah duduk dalam Umno hanya untuk kepentingan peribadi dan lubuk harta kekayaan semata-mata.

“Namun begitu setelah Umno tidak lagi berkuasa berduyun-duyun hendak sertai PH, sedangkan dakwaan terhadap mereka tidak pun disiasat walaupun ada video yang ditularkan.

“Sekiranya mereka benar-benar ikhlas dan yakin tidak bersalah serta tidak terlibat dengan dakwaan rasuah atau apa jua aktiviti yang bersalahan dengan undang-undang adalah lebih baik tindakan undang-undang terlebih dahulu terhadap mereka yang menularkan video tersebut, ” ujarnya lagi.

Tambah Azmi lagi, pimpinan PH harus buktikan bahawa apa yang dikatakan sebelum ini dapat dikotakan walaupun setelah menjadi pemerintah.

“Siasat mereka yang didakwa terlibat dengan rasuah walaupun tidak lagi menjadi Ahli Parlimen Umno.

“PH mesti buktikan kita telus dan serius menangani virus ini agar ia tidak menular masuk ke dalam PH.

“Buktikan bahawa PH berbeza dengan Umno dan BN termasuklah menghindarkan kleptokrasi dan kronisme agar ia tidak menjadi amalan dalam pimpinan kerajaan negeri maupun kerajaan pusat, ” jelasnya.