Malaysia Dateline

Buktikan PH sepakat sebagai kerajaan menunggu bukan hanya pembangkang yang kuat

Pada 5 Disember 2021 sebuah portal berita theVibes.com melaporkan kenyataan Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) negeri Perak Saudara Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dipetik sebagai berkata:

“the sentiment by DAP that certain seats belonged to it as it has a large number of Chinese voters is flawed, as PKR is also a party that represents the voices of the non-Malays.”

Laporan merujuk kepada pembahagian kerusi di dalam pilihan raya negeri Sarawak. Saya boleh bersetuju dengan Saudara Farhash bahawa DAP tidak boleh dan tidak wajar menggunakan sentimen kawasan yang besar peratusan undi kaum Cina diberi kepada DAP tidak kepada parti lain khususnya KeADILan.

Jika DAP tidak wajar menggunakan sentimen tersebut, maka saya berpandangan parti-parti lain juga tidak wajar menggunakan sentimen dan kaedah yang sama untuk memilih kerusi yang akan dipertandingkan.

Bagi saya sebagai Naib Pengerusi DAP negeri Kedah Darul Aman, dalam konteks pembahagian kerusi di Kedah sama ada kerusi DUN atau Parlimen, konsep kesepakatan PH perlu diterapkan melebihi konsep kaum.

Semua parti yang menganggotai PH iaitu AMANAH, KeADILan dan DAP di Kedah adalah parti berbilang kaum. PH bukan parti berteraskan perkauman. DAP parti berbilang kaum, begitu juga AMANAH dan KeADILan. Yang menyatukan kita adalah prinsip perjuangan untuk memartabatkan rakyat, negeri dan negara.

Justeru, dalam konteks negeri Kedah, apabila pembahagian kerusi dilakukan nanti yang mana sekarang tertangguh akibat “alasan” tertentu, maka kami dari DAP Kedah mengharapkan agar sentimen kaum tidak dimainkan oleh rakan-rakan lain.

Jangan pula ada yang mengeluarkan kenyataan atau hujah “DAP bertanding di sana dan di sini saja sebab ramai Cina”.

Pembahagian kerusi yang lebih adil di antara komponen parti akan memberikan gambaran dan bukti keutuhan dan kesepakatan PH sebagai kerajaan menunggu bukan sekadar menjadi pembangkang yang kuat.

*ZULHAZMI SHARIFF merupakan Naib Pengerusi DAP Negeri Kedah Darul Aman.