Buktikan sayang pada negara, kibar Jalur Gemilang, seru Tun M

Tun Mahathir bersama dengan Wan Azizah dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow semasa majlis pelancaran.

Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengajak seluruh rakyat dalam negara ini untuk mengibarkan jalur gemilang sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang akan datang.

Malah katanya ‘Jalur Gemilang’ harus dikibarkan bukan saja di rumah, kenderaan dan pejabat atau pusat perniagaan, sebaliknya ia boleh dikibarkan sehingga ke lautan.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan ‘Bulan Kemerdekaan’ dan ‘Kibarkan Jalur Gemilang’ peringkat kebangsaan di Padang Kota Lama malam tadi.

Katanya lagi, nikmat kemerdekaan harus dikecapi dan dirasai dengan penuh rasa bangga oleh seluruh rakyat negara ini setelah berjaya membebaskan negara ini daripada pemerintah kleptokrasi.

“Rakyat telah membuat keputusan dengan menolak kerajaan kleptokrasi dan memberi mandat kepada kerajaan baru untuk membela nasib mereka.

“Kini banyak masa perlu dihabiskan bagi memperbaiki keadaan.

Antara hadirin yang hadir bersama Jalur Gemilang di Padang Kota Lama semasa pelancaran oleh Tun Mahathir.

“Walau bagaimanapun kerajaan sedia ada tidak berminat untuk membalas dendam kepada sesiapa pun, sebaliknya tindakan perlu diambil terhadap mereka yang telah membuat kerosakan,” ujarnya.

Menurut Tun Mahathir lagi, kerajaan yang ada kini tidak mahu menzalimi mana-mana pihak.

Namun begitu jelasnya, apa yang diutamakan oleh kerajaan adalah keadilan meskipun mengambil masa yang lambat bagi proses menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang bersalah.

“Tema ‘Sayangi Malaysia Ku’ adalah tepat dan kena pada masanya kerana negara telah berjaya diselamatkan dari kleptokrasi.

“Oleh kerana itu rakyat perlu buktikan sayang pada negara ini dengan mengibarkan ‘Jalur Gemilang’.

“Sejajar dengan itu kerajaan berjanji bersungguh-sungguh untuk menjadikan negara ini sebagai ‘Asian Tiger’ semula,” tegasnya sambil menerima tepukan gemuruh ribuan penduduk yang hadir.

Tembakan bunga api turut diadakan sempena majlis pelancaran di Padang Kota Lama.

Beliau juga berkata, negara ini perlu dimajukan agar rakyat dapat menikmati nikmat peluang pekerjaan yang lebih baik serta mengurangkan kos sara hidup yang membebankan.

Selain itu tambahnya, kebebasan bersuara serta hak peri kemanusiaan akan dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat.

“Rakyat bebas mengkritik kerajaan.

“Tidak akan ada lagi amalan turun pangkat dan menghentikan kontrak sekiranya tidak menyokong kerajaan.

“Biasiswa akan ditambah serta latihan kemahiran akan turut ditingkatkan, manakala yang terlatih dan cekap, peluang pekerjaan akan dicambahkan,” jelasnya.

Kata Tun lagi, erti kemerdekaan harus dihayati dengan semangat jiwa merdeka dan menyangi negara dengan sepenuh hati dalam apa jua keadaan.

Serunya lagi, Jalur Gemilang harus dikibarkan sebagai rasa cinta kepada negara dan bersyukur dapat menukar kerajaan tanpa rusuhan.

Sambutan yang dihadiri oleh ribuan hadirin tersebut turut dihiasi dengan persembahan pentas, konvoi bermotosikal, tembakan bunga api dan pelbagai aktiviti.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS