Malaysia Dateline

Buku ’30 Dalil Zahid kena letak jawatan’ kini sampai ke rumah ahli Umno

Buku ’30 Dalil Zahid kena letak jawatan” kini dikatakan sudah sampai kepada rumah ahli-ahli Umno di peringkat bahagian dan cawangan seluruh Malaysia.

Menurut sumber, buku bercetak itu dihantar dengan menggunakan khidmat pos dan kurier terus ke rumah pemimpin dan ahli Umno di peringkat akar umbi.

Sebelum ini buku itu dibuat dengan pdf sahaja namun ia tidak menarik minat untuk dibaca dan tidak sampai ke akar umbi Umno.

“Ini mesti kerja orang dalam Umno sendiri kerana hanya mereka yang mempunyai alamat dan data ahli Umno,” kata salah seorang penerima buku itu kepada Malaysia Dateline.

Menurut pandangan beliau, selain orang dalam, kumpulan yang mungkin melakukan kerja-kerja ini adalah Kluster Menteri iaitu pemimpin Umno yang berada dalam kerajaan PN sekarang.

“Orang yang paling mungkin adalah bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa kerana dia mempunyai akses kepada data keahlian Umno sebelum ini,” kata beliau lagi.

Annuar telah dipecat sebagai Setiausaha Agung Umno dan digantikan oleh Datuk Ahmad Maslan. Beliau juga dipecat dari jawatan sebagai Setiausaha Agung BN baru-baru ini.

Sumber itu yakin, ada pihak-pihak yang terlibat dalam operasi untuk menjatuhkan Zahid ini kerana beliau adalah penghalang utama usaha untuk membolehkan Umno bekerjasama dengan Bersatu dan Pas dalam pilihan raya umum akan datang.

“Hanya dengan kerjasama Umno sahaja pertembungan satu lawan satu antara PN + BN melawan PH boleh berlaku bagi mengalahkan PH dalam PRU akan datang.

“Jika tiga penjuru antara PN, BN dan PH, PH akan menang lagi dalam PRU akan datang,” kata sumber itu.

Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Janda Baik baru-baru ini mengambil keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PN dalam pilihan raya umum akan datang selari dengan keputusan mesyuarat Umno Bahagian Januari lepas.

Keputusan itu dicapai walaupun cuba dibantah oleh pemimpin Umno yang pro PN.

Buku ini dipercayai sebagai sebahagian dari kempen untuk menjatuhkan Zahid dan digantikan oleh pemimpin yang boleh bekerjasama dengan PN.

Tajuk asal buku dalam bentuk PDF itu adalah “30 Dalil Mengapa Zahid Perlu Letak Jawatan sebagai Presiden UMNO”.

Sebuah laman web, Thecoverage.my menyiarkan kandungan penuh buku itu dengan tajuk “30 Dalil & Dosa Mengapa Zahid Hamidi Perlu Berundur Dan Dijatuhkan Sebagai Presiden UMNO”.