Malaysia Dateline

Buku Biografi Inspirasi Cuepacs dilancar

Buku Biografi Inspirasi Cuepacs dilancarkan hari ini sempena penubuhan kesatuan itu yang ke 62 tahun.

Majlis pelancaran buku biografi tersebut disempurnakan oleh Mantan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr Ali Hamsa sambil disaksikan Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda, di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Azih berkata, buku biografi yang disasarkan kepada generasi akan datang itu diterbitkan bertujuan untuk menggambarkan perjuangan Cuepacs sejak awal penubuhannya pada 1957

”Intipati buku ini adalah, dulu gaji kita sangat rendah iaitu RM185, tetapi pada ketika itu harga barang sangat rendah dan kita boleh berbelanja.

“Sekarang ini gaji minimum RM1,200 dan harga barang sangat tinggi. Kita tak mampu nak berbelanja.

“Buku itu sebagai gambaran perjuangan dan kehidupan kami sebagai kakitangan kerajaan. Kita juga hendak memberitahu generasi akan datang bahawa perjuangan ini bukan sesuatu yang mudah.

“Jadi, kita tengok perjuangan kita adalah untuk hidup (survival), bukan untuk nak senang. Perjuangan kami adalah untuk membeli rumah, menampung pendidikan anak-anak dan juga untuk diri sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-62 Cuepacs dan meraikan persaraan Tan Sri Dr Ali Hamsa, hari ini.

Ditanya mengenai pengedaran buku tersebut, Azih berkata, buku itu tidak dijual sebaliknya akan diedarkan ke Arkib Negara dan Perpustakaan Negara sebagai cenderahati.

Terdahulu, dalam majlis sama, Azih yang juga penerima anugerah Bintang Jasa Terbilang Cuepacs turut menyampaikan anugerah berkenaan antaranya kepada Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Roslan Wahab.