Buku Lutfi patut jadi rujukan untuk kenali AMANAH, kata Ustaz Ahmad Awang

Buku Lutfi patut jadi rujukan untuk kenali AMANAH, kata Ustaz Ahmad Awang

Penasihat Umum Parti Amanah Negara (AMANAH), Ustaz Ahmad Awang menyarankan kepada sesiapa yang ingin mengenali parti AMANAH supaya merujuk kepada buku terbaharu tulisan Ahmad Lutfi Othman, “Parti Amanah Negara: Cabaran, Halangan dan Potensi Sebagai Parti Islam Berpengaruh, Berintegriti”.

Kata beliau, buku ini patut menjadi rujukan bagi sesiapa yang mahu mengenali AMANAH, bagamana ia lahir ke persada politik negara sebagai parti Islam yang usuli pada dasarnya dan kontemporari pada pendekatan ke arah menjadikan Islam sebagai rahmatan lil’alamin.

“Membaca tajuk-tajuk kandungan buku ini sahaja sudah dapat membayangkan bawa AMANAH sebuah parti Islam yang inklusif dan mempunyai masa depan yang menjanjikan untuk rakyat Malaysia yang merentasi ras dan agama.

“Saudara Ahmad Lutfi Othman yang saya ikuti penulisannya sejak lebih 30 tahun adalah penulis yang mempunyai pengamatan politik yang tajam dan pengkritik yang berpijak di alam waqi’e,” tulis beliau dalam Facebooknya.

Jelasnya, buku ini walaupun bukan sepenuhnya hasil karya penulisan Ahmad Lutfi, tetapi penyusunan yang beliau usahakan dengan pilihan artikel yang diberikan tajuk yang bertemakan parti AMANAH adalah meletakkan beliau sebagai pengarangnya.

“Saya menyarankan agar setiap ahli AMANAH memiliki buku ini,” kata beliau.

Sementara itu, Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu pula berkata, Ahmad Lutfi telah berjaya melahirkan sebuah buku yang sangat bermakna.

Kata Mohamad, ia menceritakan bagaimana dan kenapa AMANAH itu lahir dan apakah cabaran serta potensi parti Islam generasi kedua ini.

“Ahmad Lutfi Othman adalah seorang tokoh yang sangat berjasa kepada perjuangan rakyat khususnya dari aspek kebebasan akhbar.

“Walau terpaksa mengharungi cabaran yang penuh liku hingga ditahan di bawah ISA, beliau tetap konsisten menulis dengan penuh jujur,” tulis beliau dalam Facebooknya.