Buku masih relevan sebagai bahan rujukan

Buku masih relevan sebagai bahan rujukan

Buku sebagai bahan rujukan utama adalah masih relevan biarpun berhadapan dengan saingan ledakan teknologi maklumat, kata Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Nafisah Ahmad.

Beliau berkata walaupun masyarakat masa kini lebih selesa menggunakan teknologi maklumat seperti internet bagi mencari maklumat, namun buku kekal menjadi sumber rujukan paling dipercayai.

“Carian di internet mungkin memberi akses pantas kepada bahan yang diperlukan, namun harus diingat tidak semuanya memaparkan informasi yang benar dan tepat. Justeru, buku sama ada dalam format digital mahupun fizikal adalah sumber terbaik kerana diterbitkan mengikut tapisan serta pengawasan rapi.

“Di internet, siapa sahaja boleh memuat naik informasi dan maklumat biarpun kadang-kala pada hakikatnya mereka sendiri tidak mempunyai kefahaman serta tidak pasti akan kesahihannya,” tambahnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Jom Baca Bersama Untuk 10 minit di Auditorium PNM di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Ghaffar A. Tambi.

Sementara itu Nafisah berkata dalam memastikan industri penerbitan buku di negara ini terus mampu bersaing dengan kepantasan teknologi, PNM telah mengatur pelbagai perancangan bagi membantu pemain industri.

Beliau berkata antara inisiatif itu termasuk menyediakan dana khas bagi pihaknya menjalankan penulisan dan penerbitan buku selain pelaksanaan skim belian buku secara terus daripada penulis tanpa melalui pihak ketiga.

“Langkah ini bukan sahaja penting dalam memastikan kelangsungan industri penulisan dan penerbitan buku, malah pada masa sama diharap mampu meningkatkan pengeluaran buku secara tahunan di negara ini.

“Dengan jumlah penduduk terkini Malaysia seramai 31.7 juta orang, pihak industri sekurang-kurangnya perlu menerbitkan kira-kira 31,000 buah buku setahun,” katanya.