Malaysia Dateline

Buku Memori Pak Menteri

Membaca buku terjemahan tulisan James MacGregor Burns, ‘Ladang Kebebasan’ yang menceritakan penuh rinci pergulatan politik awal membangunkan negara Amerika Syarikat memang terasa kehebatan mereka.

MacGregor Burn menulis pengalaman para pemimpin Amerika Syarikat membawa idea kemerdekaan sebagai asas pembinaan negara selepas revolusi. Banyak pengalaman yang wajar kita pelajari daripada mereka. Antara kelebihan pemimpin mereka adalah kerana mereka bukan sahaja bekerja tetapi berfikir dan menulis sendiri idea dan pengalaman mereka menerusi catatan diari peribadi, jurnal, surat dan juga ucapan.

Ketika sedang melayan bacaan itu, buku terbaharu bekas Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik sampai ke tangan saya. Dengarnya buku tersebut memang laku keras. Pra tempahan sudah mencecah lebih seribu. Menulis buku di negara sedang membangun tidak menjadikan penulis itu kaya raya.

Buku Maszlee ini adalah rakaman usahanya selama 20 bulan menjawat jabatan terpenting dalam sektor pendidikan negara dan juga kementeriannya. Ia juga adalah salah satu percikan pencerahan untuk generasi hadapan.

Beliau diminta melepaskan jawatannya dan kemudian dua bulan selepas itu, kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat melalui peti undi tumbang. Kerajaan PN yang diterajui oleh Mahiadin Yasin mengambil alih dengan mengkhianati rakan-rakan sendiri. Tidak sampai dua tahun, Mahiadin Yasin pula dikhianati oleh rakan-rakannya sendiri. Hukum karma.

Bekas menteri lain wajar menulis cerita dan idea dari sisi mereka. Sekarang ni, menteri pun melambak banyak. Saya menunggu tulisan Bang Mat, Salahudin, Mujahid, Dr Dzul, Khalid Samad dan lain-lain. Begitu juga tulisan Khairuddin AtTakiri, Zulkifli al Bakri, Azalina Othman Said, Shamsul Anuar Nasarah dan lain-lain. Ada sisi yang kita ingin tahu dan kena diberitahu.

Awal-awal tulisan Maszlee memetik kata-kata John Lennon, sarjana, pantun lama dan puisi yang sememangnya memerangkap kita untuk menikmati bacaan buku setebal 436 mukasurat. Buku tersebut disisipkan data, graf, angka dan juga surat-surat berkaitan dari sumber asal. Ada lukisan. Ada poster.

Buku ini mempunyai empat bab; pertama bertajuk ‘Pendidikan Kita’ adalah topik yang lebih kepada konsep dan asas dalam pendidikan di bawah pentadbirannya. Ini termasuk konsep ‘Kasih Sayang, Kegembiraan dan Saling Menghormati’, konsep pembelajaran dalam masyarakat majmuk, membaca, Bahasa Melayu, sastera dan sebagainya.

Manakala bab kedua ‘Pendidikan Anak-Anak’ dan bab ketiga ialah ‘Pendidikan Tinggi’. Kedua-dua bab ini agak membosankan walaupun penulis mengemukakan data dan hujah di sebalik pendekatan-pendekatan yang dilakukan. Bukan tidak penting bab ini. Penting kerana bab tersebut lebih suatu rekod sejarah pencapaian Maszlee sendiri.

Sebagai pembaca, saya akan mencari sasaran bacaan saya. Oleh itu, saya tidak mahu terikat dengan aturan membaca yang disediakan oleh penulis. Saya baca bab atau tajuk-tajuk yang terasa penting buat hitungan saya sendiri. Suatu buku berada di tangah pembaca, buku tersebut akan ditafsir oleh pembaca sebebas-bebasnya. Tugas pengarang tamat di situ. Kini giliran pembaca memaknakannya.

Pada saya, bab terakhir yang bertajuk ‘Berani Kerana Benar’ adalah bab kemuncak pada keseluruhan proses pembacaan buku ini. Bab terakhir adalah episod paling kritikal ketika beliau menjawat sebagai Menteri Pendidikan. Di sinilah beliau berhadapan antara idealismenya sebagai seorang sarjana dan pemikir bangsa dengan realiti sebagai seorang ahli politik.

Saya kira bab empat ini adalah segmen terpenting yang perlu diketahui terutamanya oleh warga negara yang cintakan soal pendidikan anak-anak kita. Secara tidak langsung bab ini mendedahkan bagaimana sebahagian proses ‘deep state’ berlaku dalam negara demokrasi. Politik bukan segala-galanya.

Bab inilah yang banyak memenuhi tujuan saya membaca buku ini. Tanpa bab ini, pasti saya berasa hampa membacanya meski banyak kata-kata pujangga dan puisi indah disertakan. Bab inilah yang mendedahkan di sebalik tindakan beliau menyerahkan jawatan menteri kepada Perdana Menteri.

Dalam buku terbaharu saya ‘Menang dan Terbuang. Demokrasi, ‘Deep State’ dan Darurut’ yang akan berada di pasaran tidak lama lagi ada membicarakan soal kuasa di luar kuasa politik. Buku Maszlee menghuraikan lebih lanjut tentang kuasa liar itu merosakkan demokrasi negara. Mesej Maszlee untuk menyatakan soal itu terserlah dalam buku ‘Memori Bukan Memoir’ ini.

Antara perbezaan buku saya dengan buku Maszlee, saya mulakan dengan bab soal perjuangan dan cabaran bahasa kebangsaan semasa PH memerintah. Kemudian baru saya menyentuk soal-soal kenegaraan, kepimpinan dan isu-isu politik. Maszlee mulakan dengan konsep-konsep pendidikan dan kemudian baru kepada persoalan isu-isu pendidikan sewaktu beliau menjadi menteri.

Entah bagaimana Maszlee memilih nama bapa saya (SULAM) dalam program kementeriannya dan dicatat pada mukasurat 272, 274 dan 275 buku ini. Meski maksudnya berbeza tetapi saya tetap menghargai. Memang tiada kena mengena.

Maszlee juga memetik tulisan saya tentang Dewan Bahasa dan Pustaka di penghujung bab ke empat. Sayangnya, itu tidak termasuk dalam indeks citation untuk KPI saya.

Buku ini penting bagi membuat perbandingan terutama dengan prestasi menteri pendidikan sekarang. Walaupun bertukar Perdana Menteri dan rombakan kabinet, sang menteri pendidikan sekarang kekal meneruskan jawatannya. Menteri pendidikan terbaik. Walaupun para pelajar seluruh negara hampir setahun tidak ke sekolah, pencapaian SPM adalah terbaik pernah dicapai sejarah negara sejak lima tahun lalu. Bayangkanlah.

Tidak terbayangkan.

Maszlee menulis komentar kepada buku terbaharu saya ‘Menang dan Terbuang’ itu. Sudah dua kali Maszlee menulis komentar untuk buku saya. Pertama ialah novel satira politik saya yang bertajuk, ‘Pembunuhan di Tanah Perkebunan’ yang diterbitkan pada 2016. Novel yang berlatar belakang pergolakan politik dalam Pas sehingga tertubuhnya AMANAH.

Adalah tidak adil saya membedah buku Maszlee sedalam-dalamnya. Lebih baik beli sendiri dahulu, baru kita bedah bersama.