Malaysia Dateline

Bulan pertama sudah musnahkan janji Tahun Baharu Muhyiddin

Veteran DAP menyifatkan bulan pertama tahun 2021 telah memusnahkan intipati Perutusan Tahun Baharu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menukar kelima-lima janji beliau untuk membawa rancangan pemulihan bersepadu Covid-19 kepada janji kosong.

LIM KIT SIANG

“Daripada menjadi harimau Asia pada tahun 90-an, kita kini menjadi “orang tua sakit” Asia dalam abad ke-21!” kata beliau Lim Kit Siang dalam kenyataan beliau di hari terakhir bulan Januari 2021, selepas sebulan tahun baru di sambut.

Lim Kit Siang dalam kenyataannya berkata, keutamaan pertama Muhyiddin untuk “meningkatkan tahap kesihatan awam melalui pemerolehan vaksin Covid-19 dengan pelancaran program vaksinasi kebangsaan” telah dimusnahkan oleh dua peristiwa:

1. Peningkatan harian sebanyak 5,725 kes baharu yang telah memecahkan rekod sebelum ini dan memecahkan siling 200,000 kes terkumpul Covid-19, meletakkan Malaysia di tempat ke-55 dengan jumlah kes Covid-19 tertinggi di dunia — satu lonjakan 30 tempat kedudukan berbanding dengan kedudukan negara kita di tempat ke-85 pada 18 November 2020, dan

2. Sebulan lagi penangguhan program vaksinasi kebangsaan, sedangkan 87 juta dos vaksin Covid-19 telah diedarkan di sekitar 60 negara di seluruh dunia.

Katanya, peningkatan yang memecahkan rekod dengan 5,725 kes semalam telah membawa jumlah kes terkumpul dalam negara kita kepada 203,933 kes dengan 733 kematian.

“Perkara ini bukan sahaja memecahkan siling 200,000 kes di negara kita, tetapi juga memecahkan pelaksanaan PKP 2.0 Muhyiddin daripada 13 sehingga 26 Januari.

“Ia membuktikan bahawa pelaksanaan PKP ini bukanlah penyelesaian yang sepatutnya untuk mengawal penularan gelombang ketiga wabak ini di Malaysia memandangkan purata peningkatan kes dalam 12 hari pertama PKP 2.0 ini hanyalah 2,376 kes sehari,” kata beliau.

Menurut beliau, Malaysia adalah satu-satunya negara di Asia selain Indonesia yang sedang berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 yang berpanjangan dan kritikal yang melebihi empat bulan.

“Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub telah menggesa kerajaan untuk kembali ke meja perancangan dan membentuk satu jawatankuasa bipartisan untuk mencari cara baharu untuk melawan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Institut Penilaian dan Metrik Kesihatan (IHME) yang berasas di Amerika Syarikat pula menjangkakan peningkatan berterusan kes Covid-19 di Malaysia, mencecah lebih daripada 20,000 kes baharu pada 3 Mac.

“Kita tidak boleh berlengah-lengah daripada melancarkan strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam perang melawan wabak ini.

“Ia bertujuan untuk meletakkan negara kita dalam posisi perang untuk menyelamatkan nyawa dan punca kehidupan rakyat, di mana setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang politik, mahupun kawasan, berusaha untuk mengawal wabak ini dan mematuhi SOP Covid-19,” kata beliau.

Keutamaan kedua Muhyiddin, katanya, untuk “mengukuhkan ekonomi rakyat dan menjana pertumbuhan ekonomi pasca Covid-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)” telah dikalahkan melalui penggantungan Parlimen, mewujudkan situasi mustahil untuk RMK12 ini diluluskan oleh Parlimen.

“Satu “Rancangan Malaysia Ke-12” pintu belakang yang tidak mempunyai keabsahan tidak akan mampu untuk menjadi penjana program ekonomi negara.

“Ini memandangkan dalam sejarah negara kita, tidak ada satu pun daripada rancangan lima tahun ini yang tidak diluluskan di Parlimen,” kata ahli parlimen Iskandar Puteri itu.

KESTABILAN POLITIK

Keutamaan ketiga Muhyiddin untuk “memastikan terdapatnya kestabilan politik dengan penekanan terhadap pentadbiran yang baik sebagai asas pemulihan ekonomi yang mampan” telah menjadi satu bahan jenaka dengan penerbitan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) 2020.

“Saya telah ingin bertanya sama ada Perdana Menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengeluarkan kenyataan berkaitan dengan penerbitan TI-CPI 2020 ini, yang telah mengatakan negara kita kini kembali ke arah lembah rasuah.

“Saya amat kecewa dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri mengenai perkara ini, pertamanya kerana ia tidak dikeluarkan oleh Perdana Menteri sendiri, dan keduanya kerana kelemahan dan sifat yang tidak memberikan inspirasi kenyataan tersebut,” katanya lagi.

Bagi Kit Siang, Muhyiddin gagal untuk bertindak ke atas keempat-empat cadangan TI untuk mengurangkan rasuah dan bertindak ke atas krisis di masa hadapan dalam 2021, iaitu:

1. Mengukuhkan institusi semak imbang untuk memastikan sumber sampai kepada mereka yang memerlukan. Badan anti-rasuah dan badan-badan semak imbang perlu diberikan peruntukan, sumber, dan kebebasan yang mencukupi untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

2. Memastikan terdapatnya proses kontrak yang terbuka dan telus untuk melawan salahlaku, mengenal pasti konflik kepentingan, dan memastikan harga yang adil.

3. Mempertahankan demokrasi dan menggalakkan ruang sivil untuk mencipta keadaan yang memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan.

4. Menerbitkan data dan menjanjikan akses kepada maklumat untuk rakyat bagi memastikan rakyat awam menerima maklumat pada waktu yang bertepatan, bermakna, dan mudah difahami.

“Apa yang mengecewakan adalah, tidak ada langsung disebut mengenai apa yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri sendiri untuk memastikan laporan TI CPI tahun hadapan tidak akan menjadi lebih teruk berbanding dengan laporan tahun ini!

“Kelihatan seakan-akan Muhyiddin telah menyerah kalah kepada hakikat yang laporan TI CPI 2021 akan menjadi lebih buruk daripada laporan TI CPI 2020!” kata beliau lagi.

Manakala, katanya, kenyataan SPRM pula amatlah mengecewakan, adalah lebih baik untuk kita tidak bercakap mengenainya.

Keutamaan keempat Muhyiddin, untuk “mempertahankan kedaulatan negara dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di pentas dunia” telah dihancurkan dengan penerbitan laporan UNCTAD yang mengatakan pelaburan asing di Malaysia telah menurun sebanyak 68% kepada ASD2.5 bilion.

Ia paling rendah berbanding dengan penurunan sebanyak 37% di Singapura kepada ASD58 bilion, penurunan sebanyak 24% di Indonesia kepada ASD18 bilion, dan penurunan sebanyak 10% di Vietnam kepada ASD14 bilion.

Dalam penerbitan Carta Ketahanan Covid Bloomberg yang ketiga yang diterbitkan pada 27 Januari 2021, Malaysia kekal berada di belakang New Zealand, Singapura, Australia, Taiwan, China, Jepun, Hong Kong, Vietnam, Korea Selatan, dan Thailand.

HUBUNGAN KAUM HANCUR

Katanya, keutamaan kelima Muhyiddin untuk “mengukuhkan hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk komuniti yang bersatu melawan apa-apa ancaman” adalah perkara yang paling bermasalah sekali daripada kelima-lima keutamaan ini.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR

“Perkara ini dapat dilihat daripada kegagalannya seperti yang ditunjukkan oleh pembatalan cuti peristiwa Thaipusam oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor,” katanya lagi.

Bagi beliau, Malaysia tidak pernah berhadapan dengan polarisasi perkauman dan keagamaan seteruk ini yang telah disebabkan oleh kempen berterusan penipuan, fitnah, dan berita palsu oleh parti kerajaan dan “Trump kecil” dalam negara ini.

“Tidak ada sebarang petanda dalam sebelas bulan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional yang mengatakan tindakan tegas akan diambil terhadap kempen-kempen jahat oleh “Trump kecil” di negara kita yang cuba untuk memecah belahkan masyarakat majmuk di Malaysia,” katanya.

Apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri terus mengatakan yang beliau adalah “Orang Melayu, kemudiannya rakyat Malaysia”, bagaimanakah mampu untuk situasi hubungan antara kaum dan agama di Malaysia boleh dipulihkan dalam konteks negara majmuk pelbagai kaum dan agama, dan bagaimana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang politik, dan kawasan boleh disatukan? katanya.

Bagi Kit Siang, cabaran terbesar Muhyiddin sekarang adalah untuk menjadikan kelima-lima keutamaan ini bermakna dan berinspirasi kepada semua rakyat Malaysia.

“Adakah beliau berani untuk melancarkan strategi dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19 dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Khas Parlimen untuk membincangkan isu-isu berkenaan wabak Covid-19 supaya Parlimen boleh menjadi platform utama pendekatan dan strategi ini?” soal beliau.

Bagi beliau, bulan pertama tahun 2021 telah memusnahkan intipati Perutusan Tahun Baharu Perdana Menteri Muhyiddin dan menukar kelima-lima janji beliau untuk membawa rancangan pemulihan bersepadu Covid-19 kepada janji kosong.