Bulan puasa pun ‘overtime’, wanita sempat pura-pura Qiamullail sebelum kebas beg jemaah

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang wanita sanggup berpura-pura melakukan Qiamullail sebelum mencuri beg tangan jemaah di Masjid Raja Lumu di Bukit Malawati, Kuala Selangor.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ditularkan di laman Facebook, wanita itu tampak seperti mahu mengambil barang berharga di dalam beg tersebut.

Difahamkan ketika kejadian, wanita itu hanya tinggal bersendirian berikutan jemaah lain sedang bersahur beramai-ramai sejurus selepas melakukan ibadah Qiamullail.

Khuatir sekiranya jemaah kembali semula ke ruangan solat, wanita itu memutuskan untuk mengambil sahaja beg berkenaan sebelum beredar keluar daripada masjid.

Tular di media sosial, rakaman kejadian yang dipercayai berlaku pada pagi kelmarin (Ahad) itu dimuat naik di Facebook menerusi hantaran di akaun Love Kuala Selangor.

Menurut pemilik akaun, rakaman itu tidak disebarkan bertujuan untuk mengaibkan pelaku sebaliknya bagi meningkatkan kesedaran supaya jemaah lebih berhati-hati.

“Berlaku kecurian beg di ruang muslimat selepas Qiamullail. Ketika kejadian, jemaah sedang bersahur pagi. Pencuri mengambil duit dan membawa sekali beg tersebut seolah-olah ia kepunyaannya.

“Mohon semua muslimat sentiasa berhati-hati dan memastikan duit, barang-barang berharga serta beg tidak ditinggalkan di bahagian belakang saf atau di ruang solat jika tiada jemaah lain semasa ke bilik air.

“(Video) dimuat naik bukan bertujuan untuk mengaibkan pelaku sebaliknya sebagai makluman agar jemaah sentiasa berhati-hati dan tidak cuai meletakkan barangan peribadi ditempat yang tidak sepatutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor iaitu Superintenden Ramli Kasa mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.40 pagi itu.

Memetik laporan Kosmo, Ramli Kasa memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang berusaha untuk mengesan wanita di dalam rakaman berkenaan.

Baca juga: Cetak wang palsu hampir RM70k, penjual ayam kantoi lepas pembeli guna duit di hotel untuk bayar bilik