Malaysia Dateline

Buli, rokok, alkohol,salah laku seksual, cubaan bunuh diri babit remaja 13 hingga 17 tahun

Kajian Kementerian Kesihatan mendapati 16 peratus remaja negara ini terlibat dalam buli, 13 peratus merokok, tujuh peratus tingkah laku seksual dan enam peratus cubaan bunuh diri.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata dapatan itu adalah hasil kajian Adolescent Health Survey 2017 oleh kementeriannya melibatkan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun.

Secara tepatnya, kajian itu mendapati 16.2 peratus remaja pernah terlibat dalam masalah buli, 13.8 peratus remaja dalam kalangan umur sama didapati merokok, tingkah laku seksual (7.3 peratus) dan cubaan bunuh diri (6.8 peratus).

Dalam pada itu, kajian itu mendapati 10.8 peratus dalam kalangan remaja 12 hingga 13 tahun mengambil minuman beralkohol, katanya ketika menutup konvensyen Health Promotion in Learning Institutions (HePiLi) peringkat kebangsaan 2018 dan pelancaran program Tunas Doktor Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini.

“Ini sepatutnya menjadi peringatan untuk kita berdepan dengan cabaran seperti ini dengan pendekatan serius,” katanya, sambil menambah penganjuran aktiviti kesihatan seperti Tunas Doktor Muda dapat membantu kerajaan melahirkan masyarakat yang bertingkah laku sihat.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran sampel kajian tersebut seperti dipetik laporan Bernama hari ini.