Malaysia Dateline

Bung Moktar ulangi nafi tandatangan SD sokong Anwar

Sekali lagi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengulangi penafian kononnya beliau adalah antara 10 Ahli Parlimen Umno yang mengemukakan akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu menegaskan bukan sesuatu yang mudah bagi seseorang pemimpin politik untuk mendapatkan sokongan dalam bentuk SD berhubung pembentukan kerajaan.

“Soal nama saya dikaitkan itu, saya tidak tahu. Saya sudah buat kenyataan bulan lalu yang saya tidak pernah beri sokongan kepada mana-mana pihak.

“Yang penting kita secara individu tidak pernah menyokong mana-mana pihak termasuk Anwar untuk jadi ketua kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu juga menyifatkan spekulasi yang mengaitkan namanya sebagai dari pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin pihak tertentu sengaja mahu buat spekulasi. Saya rasa banyak lagi kerja lain untuk saya buat khususnya menumpukan kepada masalah rakyat.

“Jika benar pihak yang mendakwa itu cukup majoriti, bawa SD itu dan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Tidak perlu buat kenyataan,” kata Bung Moktar lagi.

Semalam, Anwar dikatakan sekali lagi cuba meyakinkan Yang di-Pertuan Agong bahawa beliau mempunyai bilangan sokongan yang mencukupi dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat.

Anwar dikatakan sudah mempunyai 113 sokongan dalam bentuk SD termasuk 10 daripada pemimpin Umno bagi mengambil alih kerajaan.

Dalam hal berkaitan, sumber dalaman Pakatan Harapan (PH) turut menafikan dakwaan sokongan 10 MP Umno kepada Anwar itu.

Maklumat diperolehi daripada sumber yang menyatakan sokongan termasuk oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi itu juga disifatkan sebagai palsu.