Bunuh dan simpan mayat ibu dalam peti sejuk beku, jiran akui terkejut, ingatkan mangsa dah pindah masa PKP

Oleh MAISARAH AISYA

Siapa menyangka seorang anak sanggup membunuh ibu yang berusia 80-an dan menyembunyikan mayatnya dalam peti sejuk beku selama tiga tahun.

Kejadian itu terbongkar selepas suspek iaitu anak mangsa membuat panggilan kecemasan selepas dirinya menghadapi masalah kesihatan kronik.

Polis menemukan mayat wanita berusia 80-an itu yang dipercayai dibunuh anak lelaki berusia 50-an pada Mac 2021.

Menururt Harian Metro, jiran kepada suspek memaklumkan kali terakhir dia melihat mangsa adalah sebelum perintah kawalan pergerakan dilaksana.

“Kali terakhir saya melihat dia (mangsa) sebelum PKP. Sejak itu saya tidak berjumpa dengannya dan menyangka dia tidak lagi tinggal bersama anaknya,” kata jiran lelaki itu seperti dipetik Harian Metro.

Lelaki dalam lingkungan 30-an yang tidak mahu identiti didedahkan memaklumkan terkejut melihat kehadiran pihak berkuasa ke rumah suspek.

“Sebelum ini memang saya pernah nampak wanita itu (mangsa) datang ke rumah anaknya (suspek) di sini tapi sejak PKP, saya dah tak jumpa dia lagi.

“Mangsa tidak tinggal bersama anak kerana ada rumah sendiri cuma kadang-kadang datang melawat kerana anaknya tinggal sendirian dan tidak berkahwin,” jelasnya.

Dalam pada itu, lelaki tersebut memaklumkan jirannya jarang keluar dan rumah sentiasa tertutup menyebabkan dia tidak mengesyaki apa-apa.

“Dia (suspek) baik saja dengan jiran, kalau saya di luar rumah dan terserempak dengannya pasti dia menegur serta bertanya khabar.

“Lagipun dia jarang keluar dan saya faham mungkin disebabkan oleh faktor kesihatannya yang menghidap angin ahmar,” katanya.

Baca juga: Netizen sempat rakam kelibat Tunku Azizah naik AirAsia buat ramai teruja