Bursa lantik Shireen Muhiudeen sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

Bursa lantik Shireen Muhiudeen sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

Bursa Malaysia Bhd melantik Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen sebagai Pengarah Kepentingan Awam bagi menggantikan Tan Sri Amirsham A Aziz berkuat kuasa 1 Mac, 2019.

Ia berkata Amirsham yang merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif sejak 1 Mac, 2015 akan meletakkan jawatan pada 28 Feb ini.

“Pelantikan Shireen dilaksanakan oleh Menteri Kewangan tertakluk mengikut Seksyen 10(1)(a) dan 10(3) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” menurutnya.

Beliau mempunyai pengalaman melebihi 31 tahun dalam pengurusan dana khusus di pasaran ekuiti Asia pesat membangun dan pengasas Corston-Smith Asset Management Sdn Bhd.

Ketika ini beliau memegang jawatan sebagai Pengarah Bebas di AMMB Holdings Bhd dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan.

Shireen juga pernah berkhidmat di Majlis Penasihat Sukan Malaysia, Lembaga Tourism Malaysia dan ahli Dewan Perniagaan dan Jawatankuasa Perkhidmatan Kewangan Industri EU-Malaysia.

Lembaga pengarah dan pengurusan Bursa Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Amirsham di atas sumbangan, kepimpinan dan bimbingan beliau untuk pertumbuhan bursa.

— BERNAMA