Malaysia Dateline

Bursa Malaysia dibuka paling rendah sejak November 2011

Bursa Malaysia berterusan rugi apabila dibuka lebih rendah hari ini, ekoran ekuiti Malaysia tidak terlepas daripada krisis global kesan penurunan prestasi Wall Street, 28 Februari lalu.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 22.83 mata atau 1.54 peratus kepada 1,459.81 daripada penutupan Jumaat lalu iaitu 1,482.64.

Ini adalah tahap terendah yang terakhir dilihat pada 29 November 2011, apabila indeks utama Bursa ditutup pada 1,444.72.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 329 berbanding 108 di pasaran yang lebih luas, dengan 150 kaunter tidak berubah, 1,411 tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Perolehan berjumlah 345.71 juta saham bernilai RM197.31 juta.

Dalam nota hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pelabur bertukar menjadi mod risiko selepas Wall Street jatuh ke penurunan mingguan terbesar sejak Oktober 2008, minggu lalu, ekoran peningkatan kebimbangan terhadap Covid-19.

“Pakej rangsangan bernilai RM20 bilion gagal mengurangkan harga jualan.

“Dalam masa yang sama, pengeluaran dana asing dari ekuiti Malaysia juga dikompaun untuk kelemahan di seluruh ekuiti Malaysia dan kami menjangkakan keadaan tidak akan pulih semula,” dipetik Bernama hari ini.