Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini susulan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih serta didorong prestasi semalaman Wall Street yang lebih baik.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.57 mata kepada 1,710.84 daripada 1,709.27 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.32 mata lebih tinggi kepada 1,710.59.

Public Bank Investment Bank Bhd berkata, pasaran di seluruh dunia mengakhiri Oktober dengan kebanyakannya merekodkan prestasi positif walaupun masih menyaksikan kerugian bulanan terburuk dalam tempoh seketika.

“Di Wall Street, Purata Perindustrian Dow Jones dan S&P 500 masing-masing meningkat 1.0 peratus dan 1.1 peratus ketika ditutup, dipacu oleh keuntungan kukuh General Motors dan Facebook,” menurutnya.

Di Bursa Malaysia, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 157 berbanding 65 manakala 136 kaunter tidak berubah, 1,469 kaunter tidak diniagakan dan 18 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pada 96.39 juta unit bernilai RM45.28 juta.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank, Tenaga dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM9.49, RM14.70 dan RM5.00.

Petronas Chemicals meningkat 13 sen kepada RM9.48 dan Public Bank turun lapan sen kepada RM24.52.

Bagi saham aktif, Seacera dan Orion IXL masing-masing bertambah setengah sen kepada 24 sen dan 12 sen, sementara Pesona Metro dan Focus Dynamics masing-masing kekal pada 26.5 sen dan 15.5 sen.

Indeks FBM Emas Syariah naik 20.75 mata kepada 11,792.5, Indeks FBM Ace meningkat 37.83 mata kepada 4,890.38 dan FBM 70 susut 9.19 mata kepada 13,482.15.

Indeks FBM Emas menokok 8.31 mata kepada 11,778.35 dan Indeks FBMT 100 bertambah 6.36 mata kepada 11,630.63.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 5.34 mata kepada 7,364.55, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.11 mata kepada 170.75 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 38.88 mata kepada 17,210.79.-Bernama.