Malaysia Dateline

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur pada hari terakhir 2018

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur pada hari dagangan terakhir 2018, dalam keadaan beberapa aktiviti memperelokkan akaun dalam saham mewah dan wajaran tinggi terpilih, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup kepada 1,690, turun 1.49 mata atau 0.09 peratus daripada paras penutup 1,692.07 pada Jumaat minggu lepas.

Indeks petunjuk pasaran bergerak antara paras 1,689.04 dan 1,701.10 sepanjang hari dagangan, selepas dibuka 1.69 mata lebih tinggi kepada 1,693.76.

Jumlah dagangan tinggi sedikit hari ini dengan 1.57 bilion saham bernilai RM1.33 bilion daripada 1.41 bilion saham bernilai RM1.10 bilion yang dicatatkan pada Jumaat minggu lepas.

Suasana pasaran bagaimanapun positif dengan 429 kaunter untung mengatasi 361 kaunter rugi, manakala 355 kaunter tidak berubah, 728 tidak diniagakan dan 44 yang lain digantung.

Peniaga itu berkata indeks petunjuk pasaran tidak mencecah paras 1,780 seperti yang diunjurkan sebelum ini oleh para penganalisis.

“Secara tradisinya, ke arah penghujung tahun pasaran akan disokong oleh aktiviti memperelokkan akaun tetapi entah bagaimana ini disusuli oleh pengambilan untung.

“Ia (aktiviti memperelokkan akaun) adalah buatan,” kata peniaga itu sambil menambah pasaran akan ditutup pada Selasa berikutan cuti umum sempena sambutan Tahun Baharu.

Beliau berkata bursa tempatan agak lengang kerana pelabur masih dalam suasana percutian sejak perayaan Krismas.

Secara perbandingannya, Bursa Malaysia ditutup pada hari terakhir 2017 dengan mencecah paras tertingginya dalam tempoh setahun pada 1,796.81 mata (meningkat sebanyak 17.71 mata) dengan belian besar-besaran dalam saham wajaran tinggi.

Sementara itu, prestasi pasaran saham pada 2018 menerima tekanan, antara lainnya, daripada kebimbangan geopolitik lain, peningkatan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan harga komoditi yang turun naik.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat tujuh sen kepada RM9.50, Tenaga naik empat sen kepada RM13.60, Public Bank turun 12 sen kepada RM24.76 dan Petronas Chemicals berkurangan tiga sen kepada RM9.29.

Dalam kalangan kaunter cergas, Sapura naik setengah sen kepada 29 sen, Hubline dan MYEG kedua-duanya tidak berubah masing-masing pada 4.5 sen dan 97.5 sen, manakala KNM berkurangan setengah sen kepada 7.5 sen.

Indeks FBM Emas turun 9.79 mata kepada 11,527.51, Indeks FBMT 100 susut 10.97 mata kepada 11,443.61 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 4.99 mata kepada 11,504.43.

Indeks FBM Ace naik 57.29 mata kepada 4,317.49 dan FBM 70 susut 16.33 mata kepada 13,075.19.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.32 mata kepada 166.49, Indeks Kewangan susut 45.23 mata kepada 17,296.47 manakala Indeks Perladangan meningkat 5.22 mata kepada 6,902.96.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.24 bilion saham bernilai RM1.27 bilion daripada 1.04 bilion saham bernilai RM1.02 bilion pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan waran turun kepada 158.33 juta unit bernilai RM35.02 juta berbanding 216.53 juta unit bernilai RM53.04 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 162.11 juta saham bernilai RM23.84 juta berbanding 125.23 juta saham bernilai RM23.17 juta.

Produk dan Perkhidmatan Pengguna menyumbang 141.62 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (200.12 juta), pembinaan (100.01 juta), teknologi (153.18 juta), SPAC (1.96 juta), perkhidmatan kewangan (26.04 juta), hartanah (118.41 juta), perladangan (29.17 juta), REITs (27.74 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (251.11 juta), penjagaan kesihatan (28.59 juta), telekomunikasi dan media (26.52 juta), pengangkutan dan logistik (114.05 juta) dan utiliti (21.63 juta).- BERNAMA