Malaysia Dateline

Bursa Malaysia pantau impak koronavirus

Bursa Malaysia Bhd memantau trend 2019 novel koronavirus untuk mengukur impaknya.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Muhamad Umar Swift berkata pengendali bursa itu akan memantau potensi impak penularan koronavirus dan kerja-kerja yang perlu dilakukan.

“Apa yang kita akan melihat ialah pola yang jelas berkembang dalam tempoh empat hingga enam minggu akan datang, dan kemudian kita akan tahu impaknya kepada ekonomi dunia.

“Sudah tentu, ia menjadi kebimbangan. Pada mulanya, kita melihat pasaran memberi tindak balas yang agak kuat, kini pasaran menjadi lebih optimis kepada impak,” katanya kepada pemberita pada taklimat keputusan kewangan 2019 Bursa Malaysia pada Rabu.

Beliau menjawab soalan mengenai kemungkinan impak jangka pendek atau jangka panjang virus tersebut terhadap sentimen pelabur.

Kebimbangan mengenai penularan koronavirus telah menyelubungi sentimen pasaran.

Secara keseluruhannya, Muhamad Umar berkata 2020 dijangka menjadi tahun yang positif bagi Bursa Malaysia, dengan penggunaan kukuh disokong oleh pertumbuhan ekonomi.

Faktor lain ialah impak positif daripada pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas baru-baru ini dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta kemajuan dan pelaburan Bandar Malaysia, katanya.

Semasa ditutup semalam, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI merosot 4.88 mata kepada 1,545.59 daripada 1,550.47 semalam berikutan kebimbangan mengenai impak ekonomi daripada koronavirus, yang dari Wuhan, China.

— BERNAMA