Malaysia Dateline

Bursa meningkat hari ini

Bursa Malaysia melanjutkan kenaikan semalam untuk dibuka lebih tinggi hari ini berikutan minat belian berterusan ke atas saham berwajaran tinggi terpilih didorong oleh keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.25 peratus.

Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 3.34 mata pada 1,696.93, daripada penutup 1,693.59 semalam selepas dibuka 6.0 mata lebih tinggi pada 1,699.59.

Kaunter untung mengatasi rugi 180 berbanding 107 dengan 161 kaunter tidak berubah, manakala 1,464 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Sejumlah 229.39 juta saham bertukar tangan bernilai RM85.23 juta.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Maybank IB Research percaya FBM KLCI akan bergerak dalam jajaran 1,680 dan 1,710 mata hari ini, dengan sokongan penurunan di 1,658 dan 1,644 mata.

“Walaupun nilai ringgit dan harga minyak mentah Brent yang lebih lemah, minat pelabur kekal terhadap saham wajaran kecil kerana penilaian yang menarik,” katanya.

Semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang pertama semalam, bank pusat mengekalkan OPR tidak berubah pada mesyuarat keenam berturut-turut dan sejak kenaikan +25 mata asas tahun lalu.

Walaupun BNM mengakui bahawa momentum pertumbuhan global sedang menyederhana kerana kesan ketegangan perdagangan dengan risiko pertumbuhan lebih menjurus ke bawah, Maybank IB berkata bank pusat menjangka ekonomi akan terus berada di landasan pertumbuhan kukuh di belakang kekukuhan permintaan sektor swasta di tengah-tengah perbelanjaan awam yang lebih rendah dan permintaan luaran yang perlahan.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank tidak berubah pada RM9.62, Public Bank dan TNB susut dua sen masing-masing kepada RM24.80 dan RM13.60, manakala Petronas Chemicals naik enam sen kepada RM8.58.

Bagi saham aktif, Bumi Armada dan Barakah Offshore meningkat satu sen setiap satu masing-masing kepada 23.5 sen dan sembilan sen, Hubline memperoleh setengah sen kepada enam sen dan Datasonic menokok dua sen kepada 53 sen. – BERNAMA