Malaysia Dateline

Burung berkicauan, adakah ini tanda musim bunga kebebasan di Malaysia, atau hanya umpama Arab Spring?

Burung sedang berkicauan, adakah ini tanda musim bunga kebebasan di Malaysia – tetapi adakah kebebasan ini akan dipadamkan seperti Kebangkitan Dunia Arab?

Perkara ini terlintas di fikiran saya ketika saya menghirup nafas udara baharu.

Kini, udaranya terasa kurang sesak, sebaliknya, terdapat perasaan lebih bebas, suatu keterbukaan, permulaan penetapan semula prinsip dan dasar pembinaan negara kepada seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara, untuk menjadikan Malaysia sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Bolehkah kita kini berharap untuk melihat semakin sedikit rasuah dan salah guna kuasa, melihat kedaulatan undang-undang, kebebasan, dan hak asasi manusia dihormati, harga yang lebih rendah, gaji yang lebih tinggi, pengangkutan awam, sekolah, dan universiti yang lebih baik – memenuhi cita-cita sebagai sebuah negara hebat bertaraf dunia?

Masih terlalu awal untuk dikatakan.

Namun, apa yang tidak dapat disangkal adalah, kini kita dapat melihat cahayanya di penghujung terowong kegelapan yang menyelubungi negara dengan perasaan putus asa dan kekecewaan.

Semuanya bermula pada 23 Ogos, apabila Mahkamah Persekutuan secara sebulat suara, menegakkan sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak – satu perkara yang luar biasa, kerana perkara ini menunjukkan yang sembilan orang hakim, dari Mahkamah Tinggi, ke Mahkamah Rayuan, hingga ke Mahkamah Persekutuan, bersetuju mengenai perkara ini.

Perkara ini disusuli seminggu kemudian dengan sabitan bersalah Rosmah Mansor atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan dengan projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak yang bernilai RM1.25 billion, di mana Rosmah dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan denda sebanyak RM970 juta.

Namun, terdapat unsur yang kuat yang cuba untuk mengembalikan suasana suram dan perasaan putus asa terhadap rakyat Malaysia yang mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia.

Sama ada usaha jahat ini akan berjaya atau tidak akan bergantung kepada kebolehan rakyat Malaysia untuk meneruskan usaha jangka masa panjang ini.

Namun, pucuk-pucuk pohon Malaysia Baharu sudah mula bercambah.

Saya terkejut membaca suatu editorial di New Straits Times yang bertajuk “Of Laws and men” yang mengakui bahawa “dalam tahun-tahun yang lepas, di Malaysia, kita ada kerajaan personaliti, dan bukannya undang-undang”.

Editorial NST leader tersebut mengatakan:

“Mereka yang berkuasa telah menyesatkan kita. Kepercayaan telah dikhianati. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Persoalannya, bagaimanakah orang sebegini sampai ke tahap ini? Kerana mereka yang sesat telah meletakkan orang sebegini dalam kekuasan. Perkara ini menimbulkan persoalan: bagaimanakah mereka yang sesat ini sesat? Kerana itu, kerana ini, kerana segalanya. Anda dapat gambarannya.

“Berapa kerap sekalipun kita pinda Perlembagaan, jiwa yang sesat sebegini akan tetap sampai ke tampuk kekuasaan. Perkara ini telah menjadi penyakit sistemik. Betul, kita memerlukan penawarnya. Tetapi kita jauh lebih memerlukan pencegahan.

“Dan cara terbaik untuk menjadi pencegahan adalah dengan bermula di rumah dan di sekolah. Ya, masyarakat kita memerlukan kejutan moral. Sekiranya ada persamaan skala Richter, kita memerlukan gegaran di skala 10. Begitu teruk keadaannya.”

Saya hampir tidak dapat percaya apa yang dibaca, kerana saya tidak pernah membaca artikel sebegini dalam NST sepanjang hayat saya. Ini mungkin kali pertama Najib digambarkan sebagai “jiwa yang sesat” dalam media arus perdana. Dan juga skala 10 Richter untuk “gempa moral”.

Kalaulah satu lagi surat khabar arus perdana, The Star, dapat menjadi suara perubahan dan bukan sebaliknya menjadi benteng kemerosotan. Namun, saya melihat sedikit sinar harapan apabila saya membaca artikel June Wong yang bertajuk “Why there is no saving Rosmah”, walaupun artikel ini sepatutnya muncul di akhbar The Star dan bukannya Malaysiakini.

Kita sedang berada dalam perlumbaan melawan masa – untuk menetapkan semula dan mengembalikan negara kepada prinsip dan dasar pembinaan negara kepada seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara. Jika tidak, kita akan terus terjunam ke arah menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau sebuah negara gagal, memandangkan kita kini mempunyai Menteri Kabinet yang tidak menerima prinsip-prinsip Rukun Negara.

Malaysia, kemana hendak kau pergi.