Burung unta sesat merayau di lebuhraya persekutuan

Burung unta sesat merayau di lebuhraya persekutuan

Gelagat seekor burung unta yang berlari di Lebuhraya Persekutuan petang semalam telah menarik perhatian ramai pengguna jalan raya di laluan itu.

Dalam keadaan lalu lintas yang sesak di lebuh raya itu, kebanyakan pengguna jalan raya mengambil kesempatan merakam aksi burung unta itu yang dilihat sedang berlari menuju ke pusat bandar.

Satu rakaman video yang dimuat naik Jeff Sandhu di laman instagramnya kira-kira 4 petang semalam menunjukkan burung unta itu memintas beberapa kenderaan di lorong ketiga lebuh raya itu.

Menurut Jeff, ia merupakan perkara pelik yang berlaku di lebuh raya dan menimbulkan tanda tanya kepada pengguna.

“Semasa melalui laluan itu, saya lihat burung unta tersebut berlari dari arah perhentian bas Universiti Malaya menuju ke Lebuhraya Persekutuan lalu menghalang lalu lintas menyebabkan banyak kenderaan berhenti untuk melihat apa yang berlaku,” katanya kepada Bernama.

“Burung itu seolah-olah tiada arah tuju dan kerap menukar laluan sehingga menutup (menghalang) laluan di lebuh raya itu sebelum menghala ke bangunan RTM. Saya terpaksa berhenti mengejar kerana ada mesyuarat yang perlu dihadiri.”

Dalam pada itu, di laman twitter, perkataan Federal Highway menjadi ‘trending’ susulan video yang dimuat naik itu dan sudah dilihat lebih 16,000 pengguna di Instagram milik Jeff setakat pukul 11 malam.

Rata-rata netizen tercuit hati dengan telatah burung berkenaan dan seorang pemilik akaun twitter [email protected] berkata “comelnya burung unta terlepas di atas highway. Haha”.

Sementara itu, Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Shafie Daud ketika dihubungi Bernama memaklumkan tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

Burung unta itu dilaporkan telah berjaya ditangkap kira-kira pukul 4.15 petang dan akan dibawa pulang ke pemilik ladang burung unta, Ostrich Wonderlands di Semenyih.

COMMENTS

Wordpress (0)