BWF tubuh panel kajian, mesyuarat penasihat rombongan pengiring pemain

BWF tubuh panel kajian, mesyuarat penasihat rombongan pengiring pemain

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menubuhkan Panel Kajian Pemain dan Mesyuarat Penasihat Rombongan Pengiring Pemain untuk membincangkan mengenai isu-isu berkaitan pemain terkemuka dan kumpulan berkenaan.

Panel itu diwujudkan bagi menyediakan mekanisme sokongan kepada kumpulan pemain dan merencanakan strategi untuk meningkatkan pengalaman atlet pada kejohanan badminton serta melihat peluang pembangunan kerjaya atlet di luar gelanggang.

Badan induk badminton dunia itu dalam kenyataan berkata insiatif itu termasuk bekerjasama dengan atlet dan mendapatkan maklum balas mereka dalam pelbagai aspek sukan seperti hak dan pematuhan setiap pemain dalam konteks Piagam Atlet Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan rangka kerja badminton antarabangsa.

Presiden BWF Poul-Erik Hoyer Larsen berkata panel itu akan bertindak sebagai alat penting dalam mengukur sentimen dan keprihatinan terhadap pemain yang merupakan kumpulan pemegang taruh utama mereka.

“Pemain menjadi tumpuan utama terhadap banyak strategi dan aktiviti kita laksanakan, jadi adalah lebih baik bagi kita untuk? memulakan platform kerja bagi mengoptimumkan keperluan barisan atlet.

“Mereka lebih tahu sukan ini berbanding pihak lain, dan hasil daripada mewujudkan hubungan yang sihat dengan mereka, kita akan dapat menyumbang kepada pembangunan badminton secara keseluruhan untuk pemain masa hadapan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, panel berkenaan akan diketuai Anggota Majlis BWF dan bekas Pengerusi Suruhanjaya Atlet BWF Emma Mason, manakala pemegang taruh pemain berkaitan yang lain akan disepadukan dalam skop perbincangan panel tersebut yang akan ditentukan melalui proses dalaman.

Sementara itu, BWF akan mengadakan Mesyuarat Penasihat Rombongan Pengiring Pemain bagi membincangkan bidang-bidang berkaitan kejurulatihan, pegawai pasukan, kakitangan sokongan dan kumpulan pemegang taruh utama atlet.

BWF percaya perbincangan itu akan memberi mereka gambaran berguna mengenai hubungan kerja daripada pelbagai pihak berkepentingan dengan pemain-pemain terkemuka, struktur kejohanan sedia ada seperti Jelajah Dunia BWF HSBC dan ‘BWF Major Events’, serta sukan itu secara umum.

Pengerusi Suruhanjaya Atlet BWF, Koen Ridder percaya kedua-dua inisiatif itu akan meningkatkan perbincangan dan pemahaman bagi semua yang terlibat.

“Adalah sangat baik BWF dapat melihat sumbangan kolektif kumpulan pemain dan rombongan pengiring mereka sebagai satu keutamaan kerana saya rasa ini akan membawa kepada banyak perkembangan positif terhadap sukan badminton untuk maju ke hadapan,” katanya.

— BERNAMA