C4, Ambiga diminta dapatkan maklumat langsung tentang Taman Rimba Kiara

C4, Ambiga diminta dapatkan maklumat langsung tentang Taman Rimba Kiara
Khalid menunjukkan peta google kedudukan Taman Rimba Kiara (Kawasan merah kecil di bawah) yang hanya kecil sahaja berbanding Taman Persekutuan Bukit Kiara (kawasan merah di atas) yang lebih besar dan akan digezetkan.

Pihak yang mempertikaikan cara Kementerian Wilayah Persekutuan mengendalikan isu Taman Rimba Kiara sepatutnya mendapatkan maklumat kedua-dua belah pihak sebelum membuat apa-apa tuduhan.

Menterinya Khalid Samad berkata, sehingga kini dua pihak iaitu pengarah C4 Cynthia Gabriel dan peguam Datuk Ambiga Sreenevasan tidak pernah bertanyakan hal itu kepada beliau ketika membuat serangan bertalu-talu.

“Dengarlah cerita dari kami pula, padahal kita berkawan baik sebelum ini. Ini tidak pernah jumpa saya hatta seminit pun,” kata Khalid dalam sidang medianya hari ini.

Menurut Khalid, beliau mengenali kedua-dua orang itu yang disifatkan beliau sebagai kawan baik beliau sebelum ini.

Cynthia dan Ambiga menyerang Khalid dalam isu pembangunan di Taman Rimba Kiara melalui sidang media mereka bersama ahli parlimen Segambut Hannah Yeoh dua hari lepas.

Ambiga dalam kenyataannya berkata, beliau sedih kerana pentadbiran Pakatan Harapan berpakat dengan pemaju menekan penduduk.

Menurut Khalid, beliau tidak berpakat dengan pemaju untuk menekan penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang mahukan kawasan hijau itu.

“Apa yang berlaku adalah saya menguruskan pembangunan yang sedang berjalan dan diluluskan oleh kerajaan sebelum ini termasuk penjualan tanah dan kelulusan pembangunan (DO).

“Saya telah berjaya mengurangkan separuh dari tanah yang mereka perolehi dan mengurangkan separuh bangunan dari 8 kondominium kepada 4 sahaja.

“Jika saya batalkan terus, DBKl kena bayar pampasan sehingga RM150 juta kepada pemaju. Jadi saya runding balik dengan pemaju untuk kepentingan kerajaan, DBKL, pemaju, penghuni rumah panjang yang telah menanti selama 38 tahun untuk mendapatkan rumah dan keperluan kawasan hijau oleh penduduk TTDI,” kata Khalid.

Dalam penyelesaian ini, katanya, DBKL tidak perlu bayar pampasan, penghuni rumah panjang akan dapat rumah selepas 38 tahun menunggu, pemaju boleh teruskan projek mereka walaupun dengan untung yang berkurangan, penduduk TTDI dapat kawasan hijau mereka.

Ini kerana, Taman Rimba Kiara tidak akan terusik melalui projek ini, hanya tempat letak kereta mereka sahaja yang akan dipindahkan.

Selain itu, katanya, penduduk TTDI masih ada hampir 400 ekar kawasan taman iaitu Taman Persekutuan Bukit Kiara bersebelahan dengan kawasan kejiranan mereka.