Malaysia Dateline

Cabar ADUN Bersatu di Johor tarik sokongan: Mahiaddin gelar Shahrir bodoh

Cabaran veteran Umno Johor, Tan Sri Shahrir Abdul Samad supaya Bersatu mengarahkan ADUN mereka di Johor untuk menarik sokongan daripada Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad disambut dengan nada marah oleh Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menggelar Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu sebagai ‘bodoh’ dan berniat jahat.

“Itu berniat jahat. Saya kenal Shahrir ni, dia nak macam mana yang berlaku di Melaka, berlaku (pula) di Johor.

“Inilah pemimpin Umno… jangan cabar saja. Saya presiden Bersatu, Perikatan Nasional,” katanya yang jelas marah dengan isu berkenaan.

Tambah Muhyiddin lagi, tindakan Shahrir itu juga “bodoh” apabila meminta Bersatu menarik balik sokongan mereka kepada menteri besar Johor.

“Macam Shahrir bodoh, suruh bersatu tarik (sokongan) dan menteri besar Umno akan jatuh. Bijak ke bodoh?” bidasnya dalam sidang media di Jasin hari ini.

Mahiaddin berkata demikian apabila diminta mengulas cabaran dibuat Shahrir agar Bersatu menarik sokongan Adun mereka kepada Menteri Besar Johor dan membuka jalan kepada krisis politik seperti di Melaka.

Mahiaddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan dia sebenarnya tidak takut untuk bertindak balas di Johor tetapi lebih memikirkan kesan yang akan dihadapi oleh rakyat sekiranya berlaku pilihan raya negeri.

“Shahrir tak fikir. Sekarang (pun) saya boleh tekan button (butang, untuk arahkan ADUN Bersatu tarik sokongan).

“Saya tak takut, (tetapi) sebab saya fikirkan, yang penting ialah rakyat di Johor, jangan sampai berdepan masalah seperti di Melaka,” tambah Mahiaddin lagi.