Cabar batalkan pendaftaran DAP

Cabar batalkan pendaftaran DAP

DAP Johor mencabar Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusuf supaya mengambil tindakan mahkamah untuk membatalkan pendaftaran parti berlogo roket itu.

Penolong Setiausaha Publisitinya, Sheikh Omar Ali berkata, tuduhan penganalisis berkenaan kononnya DAP anti-Islam bukan hal baharu dalam politik negara ini.

“Sekiranya Dr Kamarul Zaman Yusuf ‘anak jantan’ dalam pertuduhan DAP anti-Islam, saya cabar beliau agar ambil tindakan undang-undang untuk membatalkan pendaftaran DAP kerana ia bercanggah dan mengancam semangat yang digariskan dalam perlembagaan.

“Jika tidak, saya anggap Dr Kamarul Zaman Yusuf amat naif sekali dan tidak lebih sekadar terikut-ikut skrip dilakarkan oleh Umno-BN dalam muslihat menutup segala skandal serta salah laku kepimpinan mereka semata-mata,” ujarnya.

Beliau mengingatkan Dr Kamarul bahawa DAP merupakan parti politik yang sah di Malaysia apabila lulus didaftarkan pada 1966 di bawah Akta Pertubuhan Persatuan.

“Sejak didaftarkan sehinggalah hari ini, DAP telah bergerak dan menjalankan aktivitinya sepertimana yang dibenarkan dalam kerangka kedaulatan undang-undang dan semangat luhur perlembagaan,” tegas Sheikh Omar lagi.

Dr Kamarul dalam artikelnya, “DAP memang anti Islam” yang kemudian dikongsikan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohd Abduh Nik Aziz di Facebook baru-baru ini berkata, sikap DAP terhadap Islam tergambar dalam Perlembagaan DAP yang menyebut bahawa matlamat DAP adalah untuk “mengesahkan lagi dan memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal”.

“Walhal Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah mengisytiharkan di Dewan Rakyat pada 16 Jun 2014 bahawa Malaysia bukan negara sekular.

“Lebih jauh lagi, seperti disebut oleh Najib dalam Perhimpunan Agung Umno 2016, Perlembagaan DAP langsung tidak mengandungi sebarang pengiktirafan ke atas peruntukan Perkara 3(1) Perlembagaan Malaysia yang menyebut bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan”. Apa yang ada di dalam Perlembagaan DAP hanyalah “mengiktiraf kebebasan beragama sebagai hak asasi”.

“Sebab itulah jika dilihat kepada rekod DAP selama ini, perjuangan para pemimpinnya lebih tertumpu kepada kebebasan beragama bagi penganut bukan Islam, sedangkan, hakikatnya, seperti sering disebut oleh pakar perundangan Islam negara, Almarhum Prof Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim, penganut Islam juga perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan cara hidup mereka mengikut ajaran Islam,” ujar Dr Kamarul lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)