Cabaran 2019 dan gugatan dalaman agenda pembaharuan

Ahmad Lutfi OthmanTahun yang mengukir sejarah, 2018, baru berlalu. Ia bukan sahaja meninggalkan di belakang memori indah paling manis, tetapi juga membentangkan di hadapan, cabaran berliku 2019 bagi membina semula negara yang hampir hancur.

Runtuhnya regim yang dianggap kebal zaman berzaman — Umno-BN — adalah peristiwa cukup besar dan menakjubkan. Terus merayakannya adalah langkah wajar meskipun kita sudah menginjak ke tahun baharu selepas lapan bulan revolusi elektoral yang mengujakan itu.

Berdekad lamanya, kita mencuba pelbagai cara dan strategi untuk menewaskan penguasa zalim dan rasuah itu tetapi tidak terkalahkan. Terselit harapan demi harapan, seperti pada PRU1990 tetapi sinarnya pudar pada 1995. Muncul semula dengan keyakinan lebih menyerlah pada PRU1999 tetapi dikecewakan bagai kaca terhempas pada 2004.

Tanpa siapa menduga selepas empat tahun BN menang gemilang meraih lebih 90 peratus kerusi Parlimen, dalam PRU2008, lima negeri ditawan pembangkang, dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat berjaya dinafikan. Impian menukar kerajaan muncul semula.

PRU2013 ditunggu penuh ghairah sehingga Najjb Razak sukar memilih tarikh seless pembubaran Parlimen. Gabungan oposisi perlukan satu lagi lonjakan tangkas untuk meranapkan dinasti Umno-BN. Meskipun menguasai undi popular sekitar 52 peratus, dan jumlah kerusi Dewan Rakyat meningkat namun Pakatan Rakyat hilang Kedah dan Perak.

Duka itu berlanjutan apabila koalisis pembangkang bercempera. Perbedaan gagal diuruskan secara hikmah dan bijaksana. Anwar Ibrahim dihumban semula ke penjara. Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyejukkan mata kembali ke Rahmatullah. Pas dan DAP bergerak semula ke posisi asal; dua kutub yang bertentangan. Seterusnya Pas terbelah dua.

Harapan pudar dan hampir padam, bagai sumbu kehabisan minyak. Kita menunggu hampir enam dasawarsa untuk menyaksikan peralihan kerajaan, tetapi malangnya, yang muncul adalah barisan oposisi yang saling syak wasangka. Mujur ada petanda jelas di setiap penjuru bahawa majoriti rakyat sudah bersedia bangkit untuk berubah. Mereka mahu Malaysia baharu yang lebih adil, bebas, makmur, dan berintegriti.

Di sisi lain, pembangkang bukan hanya bersengketa tetapi ada gerak di sebalik tabir yang cuba membina hubungan sulit dengan elit penguasa. Ia tambah mengecewakan rakyat yang bertekad menolak penguasa korup tetapi risau dengan prestasi seteru BN.

Loading...

Politik sentiasa dinamik dan bergejolak. Terbuka kepada pelbagai kemungkinan dan porensi. Justeru, hakiskan segala rasa putus asa dan patah hati. Oposisi tidak sehaluan, namun Umno lebih bergolak kencang.

Rasuah makin membengkak. Dana kerajaan dicuri besar-besaran. Kehidupan rakyat tambah perit. Ditindan cukai yang menekan setiap warga. Mereka hanya memerlukan sedikit keyakinan untuk memilih kerajaan baharu yang lebih baik. Sekian lama rakyat didakyahkan propaganda buruk tentang pemerintahan alternatif.

Sebenarnya yang diperlukan hanyalah peratusan kecil undi Melayu yang beralih. Tengku Razaleigh Hamzah ada baktinya. Anwar Ibrahim ada jasanya. Pimpinan Pas, seperti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Nik Aziz ada peranan besarnya. Kita cuma menunggu pelengkap kepada satu kitaran yang hampir sempurna.

Selepas Pas terbahagi, dan perkembangan itu dikira menyambung hayat Umno-Najib, harapan lebih tertumpu kepada perpecahan dalaman Umno apabila Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal memberontak. Lebih penting lagi, majoriti Melayu yang tidak berparti terpengaruh dengan aksi tiga tokoh itu. Bagaimana psikik Melayu dapat dilenturkan untuk lebih terbuka menerima kemungkinan regim Umno-BN boleh diganti.

Merentasi isu-isu dalaman parti politik, rakyat lebih terkesan dengan himpitan hidup seharian, muak dengan gaya super mewah pembesar dan isteri, jijik terhadap keangkuhan penguasa yang curang dan menghargai personaliti Mahathir sebagai kepala lokomotif perubahan.

Justeru, revolusi tanpa darah 9 Mei 2018 adalah manifestasi kebangkitan rakyat Malaysia yang cekal-berani. Ia bukan lagi hanya kekuatan tersudut parti-parti dalam Pakatan Harapan. Hinggakan calon Bebas pun boleh menang besar menewaskan BN. Ada wakil PH yang tidak terurus kempennya, kontang kantung dananya, turut menang bergaya. Sumbatlah segala tohmahan untuk memburukkan PH, canangkanlah DAP menjadi kuasa dominan, hebahlah parti Melayu sekadar tunggangan, namun majoriti rakyat sudah buat keputusan mantap, regim kleptokrasi ini mesti dihumban turun.

Benar, hikayat era perubahan baru bermula. Pembersihan mulai berjalan tetapi semak-samun masih menganggu. Pembaharuan perlahan-lahan mengisi tempat. Banyak janji belum tertunai. Rakyat tertunggu-tunggu dan mungkin ada yang tidak sabar. Maka, jangan diserabutkan lagi oleh tingkah-laku serta karenah sang menteri dan pendukung parti. Zaman baharu menuntut ditinggalkan budaya dan amalan lapuk yang merosakkan.

Ya, tidak mudah mengendalikan empat atau lima parti dalam sebuah kerajaan baharu. Masing-masing pula dalam proses pengembangan dan pemantapan. Sebahagiannya seolah-olah bertindih konstituensi yang sama. Apatah lagi tiap parti nampak seimbang, tiada “abang besar” dan kuasa dominan.

Jangan sesekali ambil mudah dengan seteru politik yang makin melemah untuk cuba sabotaj sesama sendiri. Usah pandang enteng usaha Umno dan Pas mengeksploitasi sentimen kelompok Melayu. Belajarlah untuk saling menghargai sesama sekutu. Tidak perlu tamak menguasai sumber yang terhad.

Sedarlah, ada kuasa tersembunyi rakyat yang tidak terjangka momentumnya. Mereka mengundi untuk perubahan selepas letih menunggu lebih separuh kurun. Kesabaran seperti dahulu mungkin tidak berulang lagi.

Usah mengejar status majoriti dua pertiga di Parlimen sehingga melonggarkan prinsip dan integriti. Jika perlukan sokongan untuk meminda Perlembagaan, ia tidak semestinya dicapai hanya dengan undi penyokong kerajaan. Wacana dan debat perlu terus disuburkan.

Usaha pembaharuan terdedah kepada kritikan dan bantahan, termasuk daripada kalangan sendiri. Apabila kepentingan dan peluang terjejas, kawan pun bolrh bertukar lawan, sahabat boleh jadi musuh.