Cabaran Anwar dapatkan majoriti besar di Port Dickson

Cabaran Anwar dapatkan majoriti besar di Port Dickson

Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tidak menghadapi masalah untuk menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sekalipun berdepan enam calon lain, namun persoalan yang dibangkitkan kebanyakan pihak ialah kemampuannya meraih majoriti lebih besar berbanding penyandang sebelum ini.

Mereka mendasari keperluan majoriti lebih besar itu sebagai cerminan sokongan dan penerimaan rakyat terhadap bakal perdana menteri kelapan tersebut sementelah Anwar juga pernah menjadi orang ‘Nombor Dua’ negara.

Namun, tidak semua bersetuju dengan pandangan tersebut selepas mengambil kira statistik tiga PRK sebelum ini yang masing-masing merekodkan peratusan keluar mengundi antara yang terendah dalam sejarah pilihan raya negara sekalipun ketiga-tiga PRK tersebut memihak kepada Pakatan Harapan (PH).

Prof. Dr Sivamurugan Pandian misalnya, berpandangan jumlah majoriti tidak wajar dijadikan pengukur kepada penerimaan terhadap Anwar memandangkan pemilihan itu hanya satu pilihan raya kecil dan bukan pemilihan di peringkat nasional.

“Jadi tiada isu berkenaan majoriti berapa yang sepatutnya diperoleh Datuk Seri Anwar. Lebih satu pun dah dikira pemenang,” kata pemerhati politik yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia itu kepada Bernama, hari ini.

Menurutnya Anwar adalah satu nama besar yang sudahpun membuktikan karisma dan ketokohannya dalam arena politik tanah air dan juga antarabangsa.

Mengambil kira peratusan keluar mengundi yang rendah pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong baru-baru ini, di atas kertas sememangnya agak sukar bagi Anwar “menewaskan” majoriti 17,710 undi yang diperoleh oleh penyandang sebelum ini Datuk Danyal Balagopal Abdullah.

Pada pilihan raya umum Mei lalu, Danyal selaku calon PH daripada PKR menewaskan calon BN dan PAS dalam pertandingan tiga penjuru dengan peratusan keluar mengundi kira-kira 82 peratus daripada 75,212 pemilih berdaftar.

Pada PRK kali ini, seramai 75,770 pemilih layak mengundi dengan 30 peratus adalah pengundi di luar kawasan dan PH perlu memujuk kelompok ini balik membuang undi pada hari pengundian 13 Okt ini selain memastikan 70 peratus pengundi dalam kawasan termasuk pemilih awal keluar mengundi jika mahu Anwar menang besar.

Bagi Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain daripada Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, kejayaan Anwar mengatasi majoriti yang diperoleh penyandang sebelum ini akan mencerminkan Ketua Umum itu turut diterima oleh masyarakat di luar zon selesanya iaitu Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

“Sekiranya majoriti yang diterimanya kecil, maka saya khuatir ia boleh dipersoalkan ramai pihak,” katanya.

Pada masa sama beliau berkata PH tidak mempunyai sebab untuk berasa bimbang dengan perpecahan undi kerana PRU lalu membuktikan pertandingan berbilang penjuru hanya menguntungkan PH.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Danyal pada 12 Sept lalu bagi memberi ruang kepada Anwar bertanding pada PRK dalam usahanya untuk kembali ke Dewan Rakyat.

Sekalipun BN mengambil keputusan untuk tidak bertanding pada PRK itu, Pas bertindak meletakkan calonnya Lt. Kol. (B) Mohd Nazari Mokhtar atas alasan Anwar tidak beroleh kemenangan percuma.

Selain itu, Anwar turut berdepan lima calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial Stevie Chan Kee Leong, pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta Lau Seck Yan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi manakala 9 Oktober sebagai hari pengundian awal.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote