Malaysia Dateline

Cabaran buat parti anak muda diterajui Syed Sadiq

Pada akhir tahun 2019, satu kuasa baharu politik di Indonesia muncul menggantikan kuasa politik lamanya. Anis Matta, bekas Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) meluncurkan sebuah parti dengan nama Partai Gelombang Rakyat Indonesia atau GELORA.

GELORA muncul hasil pertembungan lama dua fraksi dalam PKS; fraksi keadilan dan fraksi sejahtera. PKS yang ditubuhkan pada 1998 bukanlah satu parti kerdil, mereka pernah berada di posisi pemerintah dan sekarang di posisi pembangkang.

Di Turki, keluarnya dua tokoh besar Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), Ahmet Davutoglu dan Ali Babacan. Masing-masing telah menubuhkan parti, Davutoglu menubuhkan Gelecek Partisi atau Future Party manakala Babacan telah menubuhkan Democracy and Progress Party (DEVA).

Davutoglu dan Babacan bukan tokoh biasa, mereka berdua antara pengasas AKP dan pernah menjawat jawatan tertinggi dalam Parti dan kerajaan. AKP juga seperti GELORA muncul daripada parti lamanya Refah. AKP tertubuh pada 2001, menang 2002 dan memerintah hingga kini.

Di Indonesia, Anis Matta mempunyai visi besar untuk Indonesia yang pernah dibawa dalam PKS dulu tetapi tidak berjaya dan kini ingin dilaksanakan melalui GELORA.

Visi besar dengan cogan kata Arah Baru Indonesia itu menfokuskan kepada kesepaduan antara agama, negara, demokrasi dan kesejahteraan.

Kemudian Indonesia sebagai kuasa ekonomi kelima terkuat dunia selain fokus kepada teknologi dan ketenteraan. Akhirnya menjadi Kuasa Dunia dan mempunyai pengaruh serantau.

Di Turki pula di bawah pimpinan Erdogan banyak yang telah tercapai. Tidak keterlaluan jika dikatakan Arah Baru Indonesia telah terlaksana di Turki.

Namun, setelah 17 tahun berkuasa, kini Erdogan dilihat menggugat demokrasi Turki, mengekang hak asasi dan kebebasan bersuara, serta gagal menyelesaikan masalah ekonomi.

Tidak dinafikan AKP dan Erdogan yang bertanggungjawab membaiki ekonomi Turki dan mengurangkan kadar inflasi secara mendadak ketika mula-mula memerintah 2002 dahulu.

Dunia berubah, lanskap ekonomi dan politik berubah, prestasi pemimpin dan sokongan rakyat juga berubah.

Di sebalik faktor penubuhan parti baru yang berbeza di kedua negara ini, ada satu tumpuan yang menarik yang ingin saya tonjolkan iaitu sokongan politik anak muda.

Jika kita tinjau kaji selidik- kaji selidik sepanjang Pilihan Raya Presiden Indonesia April lalu, kita akan mendapati fakta-fakta yang menarik.

Umur mengundi di sana bermula seawall 17 tahun dan pengundi berumur 17 hingga 35 tahun merangkumi 58% penduduk Indonesia.

Kaji selidik itu mendedahkan bahawa golongan 58% itu tidak mudah didekati, dipengaruhi dan diramal sokongan politik mereka. Mereka sukakan fleksibiliti dan yang paling jelas adalah mereka celik internet dan digital.

Kecelikan ini menjadikan mereka mampu mendapatkan maklumat segera, selain menjadikan mereka lebih kreatif, saling terhubung dan mudah beradaptasi dengan keadaan sekeliling. .

Kaji selidik daripada Indikator Politik Indonesia pula menunjukkan pengguna internet memberikan persepsi negatif terhadap ahli politik di mana mereka dilabel sebagai orang yang hanya punya kepentingan peribadi, gagal melunaskan janji dan hanya focus pada nama mereka semata-mata.

Realiti ini memaksa Prabowo memilih Sandiaga Uno, seorang usahawan yang mesra anak muda sebagai calon Timbalan Presiden (Cawapres).

Jokowi pula walaupun memilih Ma’ruf Amin tokoh ulama berusia 76 tahun, beliau sendiri menonjolkan diri sebagai peminat muzik metal dan ‘mat motor’ dengan jaket.

Tidak kurang di Turki, keadaan yang sama dapat dilihat. Sokongan terhadap AKP menurun tahun demi tahun kerana meningkatnya pengundi muda yang memilih parti-parti pembangkang.

Bagi mereka yang berumur antara 18-29 tahun ini, AKP dan Erdogan tidak dilihat sebagai parti yang membebaskan Turki daripada krisis ekonomi tahun 2001 dengan kadar faedah 3000% kerana mereka ketika itu mungkin baru berusia 2 tahun ke 10 tahun.

Sebaliknya, AKP yang mereka lihat hari ini adalah AKP yang gagal menguruskan ekonomi dan menjamin peluang pekerjaan untuk mereka di mana kadar penggangguran hari ini adalah 20% lebih parah jika kita melihat kadar itu di waktu COVID-19 ini.

Bagi setiap dua pengundi di Turki, seorang adalah pengundi bawah 30 tahun. Bagi Pilihanraya Presiden akan datang yang dijadualkan berlaku pada 2023, akan ada penambahan lima juta pengundi baru dan ini adalah 10% daripada keseluruhan pengundi.

Kaji selidik yang dilakukan selepas Pilihan Raya Turki pada 31 Mac lepas menunjukkan corak pengundian pengundi muda tidak lagi mengikut parti pilihan keluarga mereka seperti sebelumnya tetapi kini mereka lebih dipengaruhi oleh rakan-rakan dan media sosial.

Pola pengundian golongan baru ini tentunya bakal dimanfaatkan oleh entiti-entiti politik baru yang muncul. Ini adalah perubahan-perubahan yang berlaku di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

Langkah kerajaan sebelum ini yang meminda umur mengundi daripada 21 ke 18 tahun bakal menambah 500,000 pengundi baru setiap tahun. Bilangan pengundi dijangka meningkat kepada 22.7 juta orang berbanding 14.9 juta pada PRU 14 lalu. Peningkatan hampir 50% bilangan pengundi.

Ada tiga cabaran kepada sayap pemuda parti atau mungkin parti baru yang bakal ditubuhkan oleh Syed Saadiq nanti.

Pertama, parti politik yang fokus kepada memberi solusi tuntas yang boleh dikompromi dan diterima oleh seluas mungkin segmen masyarakat, mencari jalan tengah dalam setiap isu yang timbul. Percayalah anak muda kita kini telah menjadi buta warna dalam melihat isu menjadikan mereka lebih objektif.

Kedua, kewujudan mekanisme yang membolehkan anak muda mengekspresikan suara dan buah pandangan mereka walaupun mereka bukan ahli parti.

Berdasarkan teori ‘New Power’ atau Kuasa Baru oleh Timms dan Heimans, ciri kuasa baru antaranya adalah golongan muda suka berkongsi dan berpartisipasi namun tidak suka keahlian kepada entiti atau gemar keahlian yang bersifat sementara.

Ketiga dan akhir sekali, penggunaan teknologi dan media sosial. Ini jelas dan ketara, baik menggunakannya untuk berkempen, mengangkat isu nasional hinggalah kepada rekrutmen dan kaderisasi. Kempen Undi18 digerakkan awalnya dengan media sosial sehingga terpinda Perlembagaan kita.

Kesilapan besar ahli politik baik yang senior atau muda hari ini adalah mengatakan anak muda yang tidak menjadi ahli parti tidak berminat dengan politik dan isu rakyat.

Sebaliknya mereka hari ini lebih berdikari, menggerakkan projek-projek kesedaran melalui penulisan, kempen di media sosial, dan menggerakkan inisiatif sendiri melalui persatuan atau bisnes sosial. Semuanya atas kesedaran sivik melaksanakan perubahan kepada masyarakat.

Satu hasil menarik penubuhan parti anak muda dapat dilihat di negara jiran, Thailand. Future Forward Party ditubuhkan setahun sebelum Pilihan Raya Thailand pada Mac 2019, oleh sekumpulan anak muda pelbagai latar belakang. Strategi kempen berat kepada media sosial.

Hasilnya walaupun baru setahun, mereka menang 81 daripada 500 kerusi Parlimen.
Mampukah momentum itu terhasil di negara kita?

*Penulis ialah Ahli Majlis Penasihat, International Islamic Federation of Student’s Organisation (IIFSO) juga Pengarah Eksekutif Siasah Rahmah Research & Consultancy.