Tahun 2022 bakal melabuhkan tirainya dengan penuh warna-warni. Pelbagai peristiwa suka, duka, pahit dan manis dilalui rakyat dan negara pada pascapandemik ini.
Malaysia berada pada Fasa Peralihan ke Endemik bermula April 2022 yang membolehkan SOP dilonggarkan ekoran penurunan ketara kes Covid-19 di seluruh negara hasil usaha vaksinasi.
Bulan Julai pula mencatat sejarah apabila Rang Undang-undang Akta Anti Lompat Parti mengenai larangan ahli Dewan Rakyat melompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan.
Pada Ogos, rakyat dikejutkan dengan dakwaan skandal penyelewengan dan salah laku dalam urus niaga pembelian Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang bernilai RM9 bilion yang didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Dalam pada itu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap mantan Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Kita turut menyaksikan kenangan manis bagaimana beregu Aaron Chia dan Soh Wooi Yik membanggakan negara dengan kejayaan merangkul pingat emas pertama Malaysia dalam Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo.
Walaupun rakyat dalam keadaan terpaksa kerana sudah hampir dengan musim tengkujuh dan banjir, Parlimen telah dibubarkan pada Oktober untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.
Oleh kerana tiada parti yang menang dengan majoriti mudah, pasca-PRU15 telah menyaksikan terbentuknya Kerajaan Perpaduan buat julung kalinya menggabungkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan, PBM dan Bebas.
Tirai 2022 diakhiri dengan insiden menyayat hati tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, Selangor yang mengakibatkan 31 orang terkorban, seterusnya bencana banjir melanda terutamanya di Kelantan dan Terengganu dengan puluhan ribu mangsa dipindahkan.
Cabaran dan Peluang
Apa pun yang berlaku pada tahun ini, ia seharusnya menjadi iktibar yang mematangkan dalam menghadapi cabaran yang dijangka lebih getir pada tahun hadapan dengan ketidaktentuan ekonomi, kenaikan inflasi, harga barang naik dan bebanan kos sara hidup yang tinggi.
Situasi ini perlulah diiringi dengan langkah-langkah ke hadapan yang proaktif dan berkesan untuk kerajaan laksanakan agar cabaran tahun 2023 dapat dihadapi dengan daya tahan yang tinggi dan ramuan pemulihan yang holistik.
Kita telah lihat langkah-langkah awal dalam mengurangkan beban rakyat antaranya kawalan harga barangan, pengekalan tarif elektrik, bantuan untuk pesawah dan pelbagai inisiatif untuk rakyat dalam pembentangan Bajet Mini 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Kelebihan hubungan baik Malaysia dan negara-negara luar yang telah terjalin kukuh sekian lama boleh dijadikan landasan terbaik untuk menjemput lebih ramai pelabur luar negara untuk melabur di Malaysia.
Apatah lagi Kerajaan Perpaduan baru sahaja terbentuk di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, figura yang sememangnya sudah dikenali di peringkat antarabangsa, dapat memberikan lebih keyakinan oleh syarikat-syarikat gergasi dunia untuk melabur.
Sumber pendapatan negara sewajarnya ditingkatkan dalam bidang-bidang yang berpotensi antaranya pertanian, pendidikan dan teknologi, selari dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 atau IR 4.0 dan teknologi 5G.
Untuk tahun 2023 menjadi tahun membuat perubahan yang besar dan mengakar, maka negara memerlukan kerajaan yang stabil, berfungsi dan berkemampuan menyelesaikan masalah agar negara berada atas landasan yang kukuh.
Oleh yang demikian, amatlah diharapkan agar semua parti politik memberhentikan apa jua bentuk ‘politicking’ dan berusaha membangunkan negara ke arah yang lebih baik.
Di samping itu, usaha memerangi rasuah mesti diberi keutamaan oleh kerajaan agar segala ketirisan kewangan akibat rasuah dapat dibendung dan dicegah.
Membina Negara
Selain itu, langkah-langkah ke hadapan membina negara yang sewajarnya dilakukan antaranya adalah menjana peluang pekerjaan yang baik untuk golongan muda yang berpadanan dengan kelayakan, menarik pelabur yang berkualiti, mereformasi sistem pendidikan serta memupuk perpaduan nasional demi mengatasi sentimen perkauman dan agama.
Sudah tentu isu ekonomi akan menjadi antara isu utama bagi tahun hadapan. Tambahan pula, dengan jangkaan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada awal tahun hadapan untuk mengekang inflasi, maka ini juga akan turut mengesani beban kewangan rakyat.
Oleh yang demikian, pekerjaan yang boleh menambah pendapatan rakyat dalam bentuk mahir dan separa mahir amat perlu untuk mendepani beban kewangan yang dijangka tiba pada tahun hadapan.
Justeru, pelabur asing yang ingin ditarik ke Malaysia perlulah daripada kalangan pelabur berkualiti yang mampu menjanjikan peluang pekerjaan yang berkualiti juga.
Sistem pendidikan adalah amat penting dalam mana-mana negara. Sistem pendidikan yang mampu melahirkan pemikir, tenaga kerja mahir, modal insan yang produktif dan inovatif akan mampu melonjakkan dan memuncakkan negara dalam segala bidang kemahiran.
Perpaduan nasional yang berakar umbi pula mampu menggembleng rakyat Malaysia dengan satu tekad dan satu hati untuk membangunkan negara ke mercu yang lebih tinggi. Sentimen perkauman dan agama perlu dibanteras agar tidak ada tembok yang boleh memisahkan dan membelahkan rakyat.
Pendekatan mesej Islam Wasatiy dan Rahmah dilihat mampu membentuk masyarakat majmuk yang saling menghormati dan saling berkolaborasi demi membina negara yang aman, sejahtera dan makmur.
Perubahan 2023
Tempoh 12 bulan pada tahun 2023 belum tentu menjamin segala perubahan buat negara, namun ia adalah titik tolak kepada sebuah perubahan yang didambakan untuk jangka panjang yang perlu dibina dengan sebaiknya.
Diharapkan agar gandingan masyarakat sivil dengan kerajaan untuk mencari solusi kepada permasalahan masyarakat dan negara dapat berjalan dengan baik dan rancak.
Moga tahun baharu 2023 memberikan sinar perubahan buat negara dengan kepimpinan yang berwibawa, ekonomi yang mampan dan rakyat yang sejahtera dalam memacu kemakmuran bersama.