Cabaran kerjaya seorang guru semakin kritikal

Cabaran kerjaya seorang guru semakin kritikal

Ramai beranggapan, tugas sebagai guru tidak memerlukan seseorang itu bekerja untuk tempoh yang lama dan tanggungjawab mereka hanyalah untuk mendidik anak bangsa di sekolah.

Hakikatnya kerjaya sebagai guru kini semakin mencabar, dengan tugas mereka bukan lagi sekadar mengajar.

Antara isu yang dikatakan membelenggu guru hari ini adalah beban tugas pentadbiran, terpaksa menjalankan tugas “ibu bapa” selain tanggungjawab hakiki sebagai pendidik, malah terpaksa menggunakan wang sendiri untuk aktiviti pelajar di luar sekolah seperti menyertai pertandingan bagi mewakili sekolah.

Semakin banyak persatuan guru dan guru yang meluahkan mengenai bebanan dan cabaran guru masa kini yang ternyata berbeza dengan persepsi sebahagian besar masyarakat bahawa guru tidak berhadapan dengan beban kerja yang banyak.

Bagi golongan guru, mereka merasakan beban tugas yang bertambah terutama berkaitan kerja pentadbiran memberi tekanan kepada mereka.

Isu ini turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Pada 12 Mac lepas, Ahmad Zahid menegaskan guru-guru di negara ini tidak seharusnya dibebankan dengan kerja pentadbiran, sebaliknya menumpukan usaha ke arah akademik dan kerohanian.

TERBEBAN

Kerjaya guru dikatakan tidak sesibuk kerjaya lain dengan guru pulang ke rumah seawal pukul 2 petang, namun hakikatnya tugas guru sekarang bukanlah seperti yang disangka.

Beban tugas guru sekarang terutama yang berkait dengan pentadbiran bukan hanya mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam kelas malah menyebabkan persediaan sebelum mengajar tertangguh.

Seorang guru sekolah menengah di Ipoh Perak, Helmi Fazlin Baharim, 40, berkata apabila tugas pentadbiran lebih banyak berbanding tugas hakiki, ia boleh memberi kesan kepada kualiti pembelajaran dalam kelas.

“Ramai beranggapan tugas guru mudah tetapi hanya mereka bergelar ‘guru’ sahaja memahami beban tugas dialami oleh guru. Lebih kecewa apabila sistem baharu secara dalam talian dilaksanakan, contohnya data pelajar, dua tiga proses perlu dimasukkan sedangkan maklumat itu adalah sama.

“Sepatutnya sistem yang dibuat perlu diselaraskan. Kadang-kadang bila ada perubahan dalam sistem pendidikan, contohnya PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) (yang diperkenalkan di sekolah rendah pada 2011), banyak benda guru kena lihat balik jadi macam sia-sia kerja sebelum ini,” katanya sambil menambah mahu atau tidak itulah cabaran yang perlu disahut sebagai guru.

Sependapat dengan Helmi, Raudhah Sharan, 30, berkata guru-guru terpaksa menggunakan masa terluang di sekolah untuk membuat kerja pentadbiran yang sama dan berulang kali, sehingga kadang-kadang mereka tidak sempat hendak membuat persiapan mengajar.

“Itu yang bila balik ke rumah kena buat persiapan mengajar sampaikan tiada masa untuk keluarga dan diri sendiri. Bukan merungut tetapi guru juga manusia biasa,” katanya yang sudah lima tahun berkhidmat sebagai guru.

Guru ekonomi di sekolah menengah di Klang, Selangor itu berkata apa yang diluahkan oleh para guru bukan bermaksud mempertikaikan tanggungjawab yang diberikan tetapi mengharapkan penyelesaian terhadap isu itu.

ISU LAMA

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Hashim Adnan berkata isu guru dibebankan dengan kerja pentadbiran bukan perkara baharu malah ia sering menjadi ‘keluhan’ dalam kalangan warga pendidik ini.

Walaupun pelbagai kajian dan perbincangan telah dibuat namun beliau berkata masalah tersebut masih berlaku dan paling dikesalkan ia seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

“Isu ini sudah banyak kali dibangkitkan akan tetapi tiada tindakan dibuat. Apabila tiada tindakan dibuat ini akan melemahkan semangat guru-guru untuk lebih berdedikasi dalam menjalankan tugas hakiki mereka sebagai guru.

“Apabila gaji guru dinaikkan tidak bermakna mereka harus melakukan kerja-kerja pentadbiran yang boleh membebankan guru secara mental dan fizikal,” katanya.

Dalam pada itu, Hashim turut menyentuh mengenai sikap segelintir ibu bapa yang meletakkan ‘tanggungjawab’ ibu bapa sepenuhnya kepada guru-guru malah ada mempertikaikan kemampuan guru dalam mendidik anak mereka jika anak mereka gagal.

“Guru kini sudah tidak mempunyai kuasa (penuh) untuk mendidik anak-anak mereka kerana jika ‘tersentuh’ sedikit sudah pasti ibu bapa akan melenting dan memarahi guru,” katanya

Sehubungan itu, beliau berkata adalah lebih baik jika semua pihak terutama ibu bapa dapat memahami tugas guru untuk mengajar dan membimbing anak-anak mereka ke arah menjadi bangsa yang maju serta berdaya saing.

BUDAYA KOLABORATIF

Bagi Prof Madya Muhammad Faizal A.Ghani dari Jabatan Pengurusan, Perancangan dan Dasar Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), beban tugas yang tinggi boleh menyebabkan golongan guru kurang bermotivasi untuk mencapai prestasi cemerlang.

Katanya beban tugas guru boleh mengganggu komitmen mereka untuk mengajar tetapi dalam hal ini guru juga harus tahu cara untuk menangani tekanan dan beban tugas itu.

” Melalui kajian yang dibuat mendapati hal tersebut boleh mengganggu tahap kompetensi dan kehidupan berkeluarga guru. Misalnya program perkembangan profesionalisme guru (latihan profesional), kebanyakkan program diadakan pada hujung minggu dan ini menyebabkan guru tiada masa bersama keluarga,” katanya.

Muhammad Faizal berkata dalam usaha meningkatkan lagi mutu pendidikan, budaya kolaboratif melibatkan kerjasama pelbagai pihak sangat penting.

Katanya ini bagi memastikan proses P&P di peringkat sekolah berjalan dengan lancar sekaligus dapat memantapkan profesionalisme guru di negara ini.

“Kerjasama itu melibatkan pihak berkepentingan dalam pendidikan seperti kerajaan, sekolah dan guru selain sokongan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata pengetua dan guru besar memainkan peranan penting untuk memastikan persekitaran sekolah lebih kondusif termasuk kerjasama yang baik antara pengetua atau guru besar dengan guru.

“Amat penting bagi pengetua untuk memahami dan mengambil berat masalah yang dihadapi oleh guru-guru.

“Masyarakat juga boleh memainkan peranan membantu pihak sekolah untuk meningkatkan pembelajaran murid-murid. Misalnya, ibu bapa berkepakaran dalam sesuatu bidang memberikan sokongan moral dalam aspek kepakaran dan tenaga. Dengan ada kerjasama tersebut sistem pendidikan negara akan lebih berkualiti,” katanya.

PERLUASKAN PEMBANTU GURU

Ditanya mengenai inisiatif penempatan pembantu guru bagi meringankan beban guru yang kini pada peringkat rintis, Muhammad Faizal berkata sewajarnya program ini perlu diperluaskan di seluruh negara untuk membentuk pendidikan berkualiti yang menjadi agenda penting negara maju.

Beliau berkata negara maju seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat sentiasa mengutamakan kebajikan dan memberi sokongan kepada guru kerana bidang pendidikan adalah penyumbang kepada pembangunan insan dan negara.

“Jika di Amerika Syarikat tugas guru hanya mengajar…kerja-kerja pentadbiran dilakukan oleh pembantu guru misalnya mengambil rekod kedatangan pelajar, mengutip bayaran yuran sekolah dan mencatat minit mesyuarat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata langkah menempatkan pembantu guru yang dilaksanakan di bawah Program Rintis Pemantapan Profesion Guru (PPG), dilihat sangat membantu dalam meringankan beban guru secara komprehensif.

Di bawah inisiatif itu, pembantu guru yang terdiri daripada Pembantu Tadbir (Pentadbiran/Operasi) Gred N17 (PT N17) dan Juruteknik Komputer Gred FT17 (JK FT17) ditempatkan di sekolah untuk mengurangkan beban tugas operasi dan pentadbiran serta teknikal ICT Guru Tugas Khas iaitu Guru Data (GD), Guru Perpustakaan dan Media (GPM) serta Guru Penyelaras Bestari (GPB).

Setakat ini, hanya Melaka dan Kedah terlibat dengan projek rintis itu.

BERNAMA

CATEGORIES