Cabaran membentuk pandangan umum yang diterima majoriti rakyat

Cabaran membentuk pandangan umum yang diterima majoriti rakyat

Dunia hari ini meraikan kebebasan menyatakan pendapat, walaupun tidak sepenuhnya tetapi jauh lebih luas dan bebas jika dibandingkan beberapa dekad dahulu. Kemajuan teknologi maya menjadikan dunia seolah-olah menjadi sebuah meja sidang bulat yang membenarkan setiap ahlinya untuk bersuara.

Konflik perang antara kartel dadah di Mexico boleh sahaja diulas di sidang maya oleh seorang pakcik di warung kopi yang terletak di Ulu Berang. Kalau dahulu capaian kepada pendapat sang pakcik itu sekadar di lingkungan warung itu, hari ini jika dia memberikan komen, ia boleh dibaca oleh seluruh orang di dunia yang mempunyai akses internet.

Sekecil manapun sesuatu kejadian ia berkemungkinan menjadi tular. Jika dahulu misalnya, seorang membuang sampah keluar dari tingkap kenderaan ia berlalu tanpa ada mempedulikan, jika adapun orang yang melihatnya mungkin hanya menggeleng kepala. Namun hari ini jika perbuatan itu terakam dan ditular di media sosial, ia menjemput puluhan ribu orang memberikan reaksi.

Begitu juga dahulu apabila rakyat tidak berpuas hati dengan sesuatu polisi atau tindakan kerajaan, ketidakpuasan hati boleh disuarakan namun pendengar kepada pendapatnya hanya sekitar orang yang ditemuinya secara fizikal. Hari ini jika sesuatu isu dibincangkan di sidang maya, ia boleh menarik semua orang yang membacanya memberikan maklumbalas.

Persoalannya apakah setiap pandangan ini perlu diambil perhatian dan diberi nilai? Apakah pandangan seseorang atau sekelompok rakyat dijadikan asas untuk mengubah polisi dan dasar kerajaan. Jika ya, berapakah jumlah sesuatu pandangan sehingga ia dianggap relevan untuk diambil perhatian? Jika tidak, apakah kerajaan gagal mendengar pandangan rakyat? Apakah kesan kepada sokongan pengundi kepada kerajaan?

Tidak mungkin kerajaan boleh menyekat sepenuhnya rakyat memberikan pandangan. Jikapun suatu hari nanti jika ada polisi keras untuk meredam suara netizen, ia tidak mampu sepenuhnya mengawal penyebaran maklumat dan ‘parlimen maya’. Lebih merisaukan jika unsur berita falsu, fakta yang sengaja dilencongkan dari kebenaran, isu perkauman dan kebencian agama dan sebagainya memenuhi ruang perbincangan.

Kerajaan perlu membina pandangan umum yang diterima secara majoriti. Polisi dan dasar kerajaan harus disokong oleh penerangan yang mendasar dan menyeluruh. Merentasi sempadan sosial, geografi dan taraf akademia.

Kerajaan harus teguh di dalam keputusan yang dibuat dan tidak tunduk kepada pengaruh yang tidak wajar. Konsistensi akan membina keyakinan rakyat bahawa dasar yang diperkenalkan kerajaan adalah selepas melalui proses yang mendalam dan akan kerajaan bersungguh di dalam melaksanakannya. Perubahan dan pendirian longgar akan membuka ruang kepada kritik yang tidak membina dan tidak perlu. Menteri dan pegawai tinggi kerajaan harus segera mengawal kenyataan agar dilihat bersama.

Mekanisme penerangan juga perlu dilihat teguh dan terpercaya. Agensi seperti RTM, Bernama, Jabatan Penerangan serta agensi kerajaan mestilah mempunyai wibawa tinggi dan mesej yang disampaikan diterima rakyat. Kegagalan menggunakan medium serta senjata penerangan adalah permulaan kepada penolakan rakyat secara massa.

Ketelusan maklumat yang disampaikan amatlah perlu dan kerajaan harus memberikan maklumat yang jujur serta kesan kepada rakyat sekiranya polisi baharu diperkenalkan. Rakyat yang matang akan menghargai sebuah kerajaan yang jujur berbanding yang menyembunyikan fakta atas pertimbangan politik.

Setiap menteri, pegawai-pegawai kerajaan lantikan politik, pegawai-pegawai kerajaan di agensi pelaksana harus menguasai maklumat dan fakta yang betul. Pernyataan yang dibuat separuh masak dan tidak tepat seringkali menjadi momokan dan perlecehan rakyat apatah lagi pihak pembangkang.

Di dalam melaksanakan dasar kerajaan tidak perlu melayani semua pandangan. Penyimpangan dari fokus utama berlaku apabila setiap persoalan yang ditimbulkan dijawab walaupun datang dari kelompok minoriti. Kerajaan perlu meletakkan keutamaan dan hanya pandangan yang membina dan relevan diberikan nilai. Pembangkang akan terus berusaha mengganggu perjalanan kerajaan sekiranya ruang dibuka.

Membina suatu pandanagan umum yang diterima majoriti adalah asas kepada kerajaan yang diterima secara demokrasi. Undi dan sokongan yang diberikan rakyat di dalam PRU14 ada mandat agar Pakatan Harapan mentadbir negara ini dengan polisi dan dasarnya.

* Haris Alimudin adalah AJK Nasional AMANAH