Malaysia Dateline

Cabaran pendidikan: Adakah Malaysia bersedia?

Kerajaan perlu segera mengenalpasti sejauhmana implikasi pandemik Covid-19 dapat membentuk semula dasar dan sistem pendidikan kita agar siap sedia menghadapi cabaran lebih rencam di hadapan.

Tiga hal utama pendidikan pada hari ini yang mesti dilihat dan diambilkira :

PERTAMA: Pandemik coronavirus telah mengubah cara bagaimana berjuta-juta pelajar di seluruh dunia termasuk Malaysia kini terpaksa melalui proses pembelajaran masing-masing.

Perubahan-perubahan itu memberi kita gambaran tentang bagaimana pendidikan dapat berubah menjadi lebih baik atau sebaliknya semakin buruk – dalam jangkamasa panjang.

Kecekapan kita mengurus berdasarkan kepada sejauhmana kita menginsafi akan implikasi yang sedang dibawa oleh pandemik ini kepada dunia, akan menjadi titik mula sama ada kita upaya membawa kepada inovasi yang mengejutkan atau sebaliknya terperosok dalam segala kelewatan bertindak secara wajar.

Sekadar menyebut beberapa contoh;

▪︎ Hong Kong mula belajar di rumah pada bulan Februari melalui aplikasi interaktif.

▪︎ Di China, 120 juta orang Cina mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui siaran televisyen secara langsung. Ini turut dilaksanakan oleh beberapa negara lain, walau masih agak kurang kreatif.

▪︎ Dalam satu sekolah di Nigeria, alat pembelajaran dalam talian “asynchronous standard” (seperti bahan bacaan melalui Bilik Darjah Google), ditambah dengan arahan video secara bersemuka, untuk membantu mengatasi penutupan sekolah.

▪︎ Begitu juga, pelajar di salah sebuah sekolah di Lubnan mula memanfaatkan pembelajaran dalam talian, walaupun untuk subjek seperti pendidikan jasmani.

KEDUA: Setiap negara di seluruh dunia kini sedang memikir dan merencanai penyelesaian baharu untuk pendidikan, yang sekaligus diharapkan boleh membawa inovasi yang sangat diperlukan.

Persoalannya: Adakah Malaysia juga sudah bersedia dan mula disediakan ke arah itu? Dalam konteks ini, saya percaya aplikasi “Tik Tok” tidak relevan terlibat!

KETIGA: Bagaimana cabaran yang ada mungkin boleh dimanfaatkan bagi memperkasakan penggunaan teknologi digital dan kerjasama lebih menyeluruh antara awam dan swasta dalam usaha membangunkan sistem baharu, sekaligus mengurangkan jurang pendidikan di antara kelompok masyarakat yang kita ada di seluruh negara, dari kota raya sehinggalah ke pelusuk desa ?

Sejauhmana kita bersedia membangunkan konsep pendidikan digital secara holistik dalam pelbagai format, dan menggembleng semua pemegang taruh – termasuk kerajaan, penerbit, profesional pendidikan, penyedia teknologi, dan pengendali rangkaian telekom – berkumpul untuk menggunakan platform digital sebagai penyelesaian sementara untuk krisis ?*

Di China, Kementerian Pendidikan telah mengumpulkan sekumpulan komponen yang pelbagai untuk membangunkan platform pembelajaran dan penyiaran dalam talian berasaskan awan baru (new cloud based) serta menaik taraf infrastruktur pendidikan yang diketuai oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat .

Walaupun barangkali terlalu awal untuk menilai bagaimana pandemik COVID-19 akan mempengaruhi sistem pendidikan di seluruh dunia, namun jelas di sana ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa ia boleh memberi impak yang berpanjangan kepada trajektori inovasi pembelajaran dan pendigitan.

Cabaran boleh sahaja menjadi ancaman seandainya kita gagal menukarkannya menjadi satu peluang inovasi yang sememangnya diperlukan sekian lama.