Cabaran perundangan Akta MKN berpindah semula ke Mahkamah Tinggi

Cabaran perundangan Akta MKN berpindah semula ke Mahkamah Tinggi

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim

Mahkamah Persekutuan hari ini memerintahkan cabaran perundangan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mencabar pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta MKN 2016), dipindahkan semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran.

Bernama dipetik melaporkan, panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum membenarkan permohonan rayuan Anwar untuk mengekalkan saman pemula beliau dalam perkara itu dan untuk perkara itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk didengar meritnya, selepas Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob tidak membantah rayuan itu.

Terdahulu, peguam yang mewakili Anwar, Datuk Seri Gopal Sri Ram memohon mahkamah membenarkan rayuan terhadap perkara itu dipindahkan semula untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi.

Mazlifah yang mewakili Majlis Keselamatan Negara dan kerajaan yang dinamakan sebagai defendan-defendan dalam saman itu, mengesahkan kepada mahkamah bahawa perkara itu akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Malanjum menetapkan 21 Nov sebagai tarikh sebutan kes di Mahkamah Tinggi.

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed dan Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin.

Saman pemula Anwar bagi mencabar kesahihan MKN dari segi perlembagaan yang berkuat kuasa pada 1 Ogos 2016, ditolak oleh Mahkamah Tinggi atas alasan cabaran undang-undang itu sepatutnya difailkan di Mahkamah Persekutuan kerana ia melibatkan kompetensi legislatif oleh Parlimen.

Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan menyebut prosiding untuk mendapatkan penetapan bahawa sesuatu undang-undang adalah tidak sah tidak boleh dimulakan tanpa kebenaran hakim Mahkamah Persekutuan.

Anwar gagal dalam rayuannya di mahkamah rayuan yang ditolak pada 6 Nov 2017. Pada Mac tahun ini Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepadanya untuk mengemukakan rayuan keputusan itu.

Dalam saman sivil yang dikemukakannya pada 2 Ogos 2016, Anwar mendakwa pelaksanaan Akta MKN 2016 adalah bercanggah dengan perlembagaan dan terbatal.

Beliau memohon operasi Akta MKN diberhentikan dan dikembalikan kuasa untuk memberi perkenan kepada Yang di-Pertuan Agong.