Cabaran sengit tetapi sokongan semakin meningkat, kata Salahuddin

Cabaran sengit tetapi sokongan semakin meningkat, kata Salahuddin

Menjengah hari kesembilan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, sokongan pengundi kepada Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin meningkat.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut mengakui perkembangan positif itu walaupun diakui calon PH dari Bersatu berdepan cabaran dalam pertandingan enam penjuru pada 16 November ini.

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, rata-rata pengundi Cina yang merangkumi 41.52 peratus daripada keseluruhan 52,986 pengundi juga dilihat kembali mendekati PH.

“Cabarannya tetap sengit dan sukar tetapi ada peningkatan sokongan terhadap PH dari hari ke hari.

“Pengundi Tionghua yang khabarnya merosot sokongan kepada PH, kembali semula mendekati PH,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.

Pengundi Cina turut dilihat kembali semula mendekati PH,

Walau bagaimanapun, Salahuddin berkata, terdapat pengundi Melayu yang masih salah anggap menyangka pembaharuan kerajaan dilakukan oleh BN.

“Masa sama, masih ada pengundi Melayu yang menerima baik pembaharuan kerajaan tetapi masih beranggapan ia di bawah BN,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pulai itu memberitahu beliau turut memohon cuti kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membolehkannya mendekati pemilih di 27 pusat daerah mengundi (PDM).

“Saya memohon kepada Perdana Menteri untuk bercuti sehingga hari mengundi, bagi lebih merapati dengan denyut nadi kehidupan pengundi Tanjung Piai,” katanya lagi.

Pada PRU-14, PH di Tanjung Piai menguasai 64 peratus sokongan pengundi Cina dan 43 peratus sokongan pemilih Melayu.

Sementara itu, calon MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng yang mewakili kawasan itu sejak dua penggal lalu menguasai 32 peratus sokongan pengundi Cina serta sebahagian besar PDM majoriti Melayu di DUN Kukup.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu juga menguasai hampir separuh sokongan pengundi Cina di DUN Pekan Nenas.

Wee juga adalah bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan sebelum tewas kepada penyandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada PRU-14.

Salahuddin dalam program ramah mesra dan dialog bersama nelayan Pengkalan Sungai Boh, Tanjung Piai hari ini.