Malaysia Dateline

Cabaran tahun 2020 adalah memacu ekonomi rakyat

 

1.Apabila Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada 9 Mei 2018, fokus kerajaan baharu adalah untuk memulihkan ekonomi negara kembali ke landasan yang sebetulnya. Kita dapat melihat hari ini ekonomi negara semakin baik dengan pelbagai model rangsangan baharu. Hasilnya, agensi-agensi penting seperti Tabung Haji, Felda dan Mara kembali menunjukkan trend pemulihan dan keuntungan. Harga komoditi utama negara iaitu minyak sawit terus menunjukkan trend lonjakan hingga ke paras RM3003 satu tan yang merupakan harga tertinggi dalam tempoh 3 tahun. Pertumbuhan ekonomi negara pula mencapai 4.6 peratus bagi tempoh 9 bulan pertama tahun 2019. Semua ini merupakan indikator penting bagi memperlihatkan pemulihan ekonomi negara sedang berjalan dengan baik di bawah kepimpinan Pakatan Harapan.

2.Antara pemulihan ekonomi paling signifikan adalah peningkatan peluang pekerjaan sungguhpun ekonomi negara dihimpit bebanan hutang tinggalan kerajaan Barisan Nasional dan perang dagangan Amerika-China. Menurut data Jabatan Perangkaan, bilangan rakyat Malaysia yang bekerja telah meningkat sebanyak 413,000 orang dalam tempoh 18 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan. Pada masa yang sama, sebanyak 151,000 peluang pekerjaan baharu telah dicipta sejak suku kedua 2018 (Q2’18) sehingga Q3’19 yang berakhir Oktober 2019. Menariknya, lebih 90% daripada peluang pekerjaan baharu ini tergolong dalam kategori mahir dan separa mahir, yang menjanjikan pendapatan lebih tinggi. Bilangan pekerjaan di sektor swasta telah melonjak sebanyak 178,000 dalam tempoh 6 suku tahun ini. Jika dibandingkan dengan prestasi Barisan Nasional sebelum ini, bilangan pekerjaan di sektor swasta hanya meningkat 75,000 dalam 6 suku tahun iaitu dari Q4’16 hingga Q1’18. Secara keseluruhannya, ekonomi Malaysia masih utuh dan kadar pengangguran terus kekal bawah paras 4% iaitu ‘full employment’ (pekerjaan penuh).

3.Untuk mencapai janji Pakatan Harapan mewujudkan 1 juta peluang pekerjaan baharu dalam tempoh 5 tahun, kerajaan sedang memperkenalkan beberapa strategi khas. Antaranya adalah inisiatif baharu [email protected] yang akan mewujudkan tambahan 350,000 pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Graduan muda dan wanita akan diberikan tumpuan khas di bawah inisiatif ini. Pada masa yang sama, bilangan pekerja asing juga akan dikurangkan mendadak sebanyak 130,000 orang. Saya juga berharap agar pemerkasaan tenaga kerja Malaysia tidak terhenti setakat penciptaan peluang pekerjaan, tetapi bergerak selari dengan pertambahan pekerjaan yang berkualiti dan berpendapatan adil.

4.Selari dengan gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang mensasarkan antara lainnya mengurangkan jurang pendapatan antara kaum dan wilayah, kerajaan Pakatan Harapan terus komited untuk mengurangkan kos sara hidup bagi mencapai wawasan tersebut. Di peringkat LKIM, kami berusaha membantu kerajaan untuk mengurangkan harga barang dengan mensasarkan pembinaan dan menaik taraf lebih banyak pasar nelayan di seluruh negara yang berupaya memendekkan rantaian bekalan dengan jualan ikan terus kepada pengguna. Pada tahun 2019, LKIM telah membina 4 pasar nelayan yang baharu serta menaik taraf 23 pasar nelayan yang lain dengan kos sebanyak RM1.94 juta. Pengeluaran produk ikan segar beku ‘Qfish’ akan dipertingkatkan dengan kemudahan IQF (Individual Quick Freezing) sedia ada di Kuala Kedah dan Kuala Besut.

5.Harapan saya kepada golongan nelayan adalah melihat mereka mendapat pendapatan yang lebih baik pada tahun hadapan sekaligus keluar daripada terperangkap dalam golongan B40. Justeru, usaha berterusan untuk memodenkan nelayan dengan menggalakkan para nelayan memiliki bot dan peralatan lebih canggih. Saya amat mengimpikan lebih ramai belia nelayan tempatan menguasai industri perikanan termasuk di semua peringkat upstream, midstream dan downstream. LKIM sentiasa bersedia membantu belia nelayan untuk menerokai industri hiliran dan akuakultur dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan. LKIM akan sentiasa komited dalam usaha meningkatkan sosio-ekonomi nelayan dan memajukan industri perikanan.

6.Dalam kita memasuki era baharu tahun 2020, diharapkan Malaysia akan terus menyaksikan pertumbuhan ekonomi dan perkembangan industri tempatan. Hasil pertumbuhan ekonomi harus dapat dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Saya berharap agar kerajaan Pakatan Harapan dapat memperkenalkan suntikan fiskal ke dalam projek-projek yang mempunyai “multiplier effect” yang tinggi seperti projek infrastruktur untuk merangsangkan aktiviti ekonomi. Pada masa yang sama, ekonomi anak muda harus terus diperkukuhkan menerusi dana dan bimbingan agensi kerajaan untuk perniagaan atau “start-ups” yang diwujudkan oleh anak muda. Ini akan mengorak langkah ke arah pengurusan ekonomi yang lebih mampan sepanjang 2020 dan tahun-tahun akan datang. Tahun 2020 merupakan tahun yang lebih mencabar bagi kerajaan Pakatan Harapan memacu ekonomi rakyat.

7.Saya juga meletakkan harapan yang tinggi kepada rakyat Malaysia agar mereka lebih dididik untuk keluar dari kotak pemikiran perkauman yang sempit. Negara ini perlu dibina bersama-sama dengan kualiti dan dinamika rakyat secara menyeluruh demi kemakmuran bersama. Saya amat bimbang dengan isu perkauman dan agama sempit yang terus dimainkan pihak-pihak tertentu yang boleh membantutkan pembangunan negara kerana sentimen sebegini tidak mampu mengangkat martabat negara. Ketika negara memasuki era baharu tahun 2020, sudah pasti pemikiran rakyat perlu lebih progresif dan bukannya konservatif. Perubahan minda ini perlu dimulakan di kalangan anak muda untuk bersama membina kejayaan demi masa depan negara yang lebih cemerlang. Saya amat bimbang kemakmuran yang dinikmati di dalam negara ini diancam penguasaan bangsa asing sekiranya orang muda gagal memainkan peranan yang penting dalam pembangunan ekonomi negara.

SELAMAT TAHUN BARU 2020

YB Muhammad Faiz Fadzil , Adun Permatang Pasir dan Pengerusi LKIM