Cabul: Shahidan sahkan beri keterangan kepada polis

Cabul: Shahidan sahkan beri keterangan kepada polis

Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini tampil mengesahkan telah dipanggil pihak polis bagi memberi keterangan berhubung kes cabul remaja bawah umur.

“Saya telah memberi kerjasama yang baik dengan pihak polis dan saya harap semua pihak tidak memanjangkan perkara ini kerana ia menjejaskan maruah anak perempuan tersebut,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini, lapor Bernama.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melahirkan rasa kesal apabila kes tersebut tular di media sosial memandangkan pihak keluarga remaja terbabit telah menarik balik laporan polis yang dibuat.

“Saya tertanya-tanya kenapa tular Kenapa kes itu dikeluarkan Kes ini keluarga dah tarik balik, tapi yang buka cerita ini adalah tuan-tuan (media sosial).

“Saya kesal sebab kes ini melibatkan kanak-kanak dan gambar serta kad pengenalan dia dipamerkan. Kasihan kanak-kanak ini sebab dia bukan ada apa-apa kepentingan,” kata Shahidan yang turut meminta semua pihak berhenti menyebarkan perkara itu.

Bekas Menteri Besar Perlis itu tidak menolak penularan kes itu ada kaitan dengan motif politik.

“Saya sebagai orang politik sudah pasti akan dibuat macam-macam oleh musuh-musuh politik, tetapi saya akan menghadapinya dengan rela dan reda,” katanya.

Shahidan berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan perkara tersebut.

Semalam, Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata siasatan kes cabul remaja berusia 15 tahun itu yang membabitkan seorang anggota Parlimen di Perlis, hampir selesai setelah pihak polis merekodkan keterangan 10 individu termasuk kenyataan suspek di Bukit Aman.

Noor Mushar berkata pihaknya menjangkakan kertas siasatan siap dalam masa terdekat dan dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian sebelum diserahkan kepada pihak timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.