Malaysia Dateline

Cabuli hak rakyat bersuara, rakaman pengajaran guru juga perlu lesen Finas?

Ketetapan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bahawa segala bentuk penggambaran termasuk rakaman media sosial peribadi memerlukan lesen penerbitan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mencabuli kebebasan rakyat untuk bersuara.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kewajipan yang mengejutkan dunia media itu sepatutnya memerlukan kajian lebih teliti.

“Apakah kerajaan pada hari ini telah melakukan kajian mendalam dan mendapatkan pandangan daripada rakyat terutamanya remaja yang merupakan pengguna tegar media sosial sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut?

“Dalam era norma baru kini, rakaman audio visual menjadi antara komponen penting dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pengajaran dan pembelajaran, perkongsian maklumat dan lain-lain bentuk kerjasama digital.

“Adakah kerajaan akan turut mengambil tindakan ke atas guru-guru yang merakam video pembelajaran tanpa lesen Finas?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Salahuddin yang merupakan Ahli Parlimen Pulai menyarankan agar Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244) dipinda.

Katanya, langkah tersebut membolehkan undang-undang berkaitan selari dengan tuntutan dan keperluan perkembangan teknologi terkini dan masyarakat semasa.

“Berbeza dengan kerajaan pengkhianat PN, kerajaan PH dahulu mengiktiraf dan berusaha mengangkat hak kebebasan bersuara dan hak berekpresi bagi meraikan kepelbagaian pendapat dan ideologi,” tegasnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan dalam reaksinya menyeru penyedia kandungan video platform dalam talian seperti Youtube (Youtuber) bangkit menentang undang-undang diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah itu.

Hazmi yang juga Youtuber bimbang keputusan kerajaan PN yang tanpa mandat rakyat itu akan menjejaskan sumber pendapatan rakyat dan industri kreatif negara.