Malaysia Dateline

Cadang dua Kabinet serlahkan ketidakmampuan Pas mentadbir negara

Walaupun Pas mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi dasar terbaru Pas yang dicadangkan oleh presidennya baru-baru ini merupakan satu dasr pecah perintah terburuk dalam sejarah demokrasi sekiranya ia menjadi realiti.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil ketika ditemui selepas program menyantuni masyarakat keturunan Cina dalam Parlimen Permatang Pauh kelmarin.

Jelasnya, memecahkan pentadbiran mengikut kaum dan agama adalah tindakan penjajah Inggeris yang diwarisi pemikirannya oleh kepimpinan Pas kini.

Faiz bersama-sama dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah menyantuni masyarakat Cina kelmarin.

“Pemisahan kuasa antara orang Islam dan bukan Islam juga tidak menepati ajaran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. yang mentadbir Madinah dahulu untuk semua agama dan bangsa termasuk juga orang Yahudi.

“Pas harus ingat sejarah telah membuktikan Piagam Madinah yang dibuat oleh Nabi Muhammad meletakkan hak orang Islam dan bukan Islam pada tempatnya tanpa memisahkan kuasa antara agama dan bangsa.

“Dasar terbaru Pas ini menyerlahkan lagi ketidakmampuan mereka untuk menjadi pentadbir yang baik dalam negara ini yang mempunyai masyarakat majmuk kerana tidak mampu menjaga hak bukan Islam,” ujarnya lagi.

Malah kata Faiz lagi, dasar yang cuba diimplementasikan oleh Pas menggambarkan kemampuan parti tersebut hanyalah sebagai penasihat dan bukannya kerajaan.

“Teori politik dan pentadbiran Pas adalah regresif yang akan membawa negara ini ke arah kemunduran dan mewujudkan suasana huru-hara disebabkan ketegangan kaum setelah diperintah secara pecah dan perintah.

“Selain itu dasar dua Kabinet seperti yang direncanakan oleh Presiden Pas tersebut bertentangan dengan perlembagaan dan sifat demokrasi yang menjadi amalan dalam negara ini.

“Sekiranya dipraktikkan ia akan membazirkan wang rakyat kerana terpaksa menanggung gaji menteri dua kabinet yang begitu ramai, sedangkan hutang bikinan Najib dan kerajaan kleptokrasi Barisan Nasional (BN) amat membebankan rakyat, ” tegasnya.

Faiz menyantuni pengundi Cina di Permatang Pasir, Permatang Pauh kelmarin.

Beliau juga berkata, Pas harus ingat bahawa pentadbiran negara bukannya seperti poligami yang boleh menempatkan dua orang isteri dalam satu rumah.

Tambahnya lagi, dasar yang cuba diperkenalkan Pas tersebut turut menggambarkan pemikiran parti tersebut dalam perkara yang bersangkutan dengan hubungan kaum umpama tuan dengan hamba yang tidak boleh diterima dalam kehidupan moden kini.

Sehubungan itu katanya, memberi mandat kepada Pas dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti akan lebih banyak memudaratkan rakyat dan juga negara.

Justeru sarannya, Pas yang semakin intim dan bersekongkol dengan Umno-BN wajib ditolak tanpa memberi sedikit pun ruang untuk mereka menerajui kepimpinan kerajaan negeri maupun kerajaan Pusat pada PRU14 nanti.