Malaysia Dateline

Cadang kenakan bayaran masuk tujuh hutan lipur di Perak

Jabatan Perhutanan Perak bercadang mengenakan bayaran masuk di tujuh lagi hutan lipur di negeri ini secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang untuk tujuan penyelenggaraan.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata ketika ini tujuh daripada 14 hutan lipur yang terdapat di Perak ini telah dikenakan bayaran RM2 setiap seorang.

Katanya tujuh hutan lipur itu ialah Taman Eko Rimba Kledang Saiong, Ipoh; Taman Eko Rimba Papan, Batu Gajah; Taman Eko Rimba Pulau Tali Kail, Gerik; Hutan Lipur Ulu Kenas, Kuala Kangsar; Taman Eko Rimba Kuala Woh dan Taman Eko Rimba Lata Kinjang di Tapah serta Pusat Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang di Taiping.

“Kita akan menyediakan kertas kerja dan bentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) untuk pertimbangan kerajaan negeri sebelum kita melaksanakan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program ‘Jungle Park In Town’ Siri 2 di perkarangan Taman Eko Rimba Kledang Saiong di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Zin berkata pihaknya menyasarkan 900 batang pokok akan dijual kepada individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat menerusi program ‘oksigen land bank’ yang bertujuan memelihara pelbagai spesies pokok di hutan simpan di negeri ini.

Menurut Mohamed Zin pada peringkat permulaan, pokok jenis meranti, tembaga dan cengal akan dijual bermula RM2,000 sehingga RM5,000 mengikut saiz pokok tersebut.

“Kita telah mengadakan rundingan peringkat awal dengan beberapa syarikat serta individu yang berminat untuk menyertai program ini yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Bulan lepas, Mohamed Zin berkata program itu akan dimulakan di Hutan Simpan Kekal Chikus yang terletak di Sungai Manik, Teluk Intan dan Hutan Royal Belum di Gerik.

“Program ini berkonsepkan kita akan menjual pokok-pokok yang terdapat di kedua-dua hutan tersebut kepada individu, NGO dan syarikat korporat yang berminat untuk membeli spesies pokok tersebut.

“Kita akan jual pokok-pokok itu fasa demi fasa dan sebagai permulaan, kita akan memberi tumpuan kepada kawasan seluas 10 hektar dahulu,” kata Mohamed Zin.

— BERNAMA