Malaysia Dateline

Cadang Pahang kenakan sewa tinggi kepada Lynas, kata Adun Kemayan

Kerajaan negeri Pahang dicadang mengenakan kadar sewaan tinggi kepada kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) jika mereka memuktamadkan lokasi tapak pelupusan kekal (PDF) bagi memproses sisa kilang di negeri ini.

Cadangan itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun  Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman adalah bagi membolehkan Pahang memperoleh manfaat maksimum daripada langkah membina PDF, yang dijadikan sebahagian daripada syarat lanjutan lesen operasi Lynas baru-baru ini.

“Jika benar sisa Lynas mempunyai kadar radioaktif minimal dan tidak membahayakan itu akan dilupuskan di negeri ini, maka ia adalah peluang memperoleh pendapatan baharu untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Mohd Fadil berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2020 dan Usul Anggaran Pembangunan dan Pembekalan Air 2019 di persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, di Wisma Sri Pahang pad Rabu.

Beliau juga menyifatkan pemilihan tapak pelupusan itu di Pahang membawa maksud negeri ini telah melakukan pengorbanan kerana tiada negeri lain menawarkan kawasan mereka untuk dijadikan PDF,  membolehkan Pahang mendapat pulangan bagi perkara tersebut.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Abd Rahim Muda mengesahkan Lynas telah mengemukakan permohonan untuk membina PDF yang kini dalam peringkat semakan oleh kerajaan negeri.

Abd Rahim yang tidak menyebut secara spesifik kawasan yang dimohon berkata kerajaan negeri juga mendengar pandangan pakar dan kementerian terlibat serta kerajaan Persekutuan dalam hal tersebut.

Pada 15 Ogos lepas, Lynas yang beroperasi di Gebeng di sini, menerima perlanjutan lesen operasi selama enam bulan dengan tiga syarat termasuk mengenal pasti tapak pembinaan kemudahan PDF dengan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri.