Cadang pinda kanun keseksaan beri hukuman setimpal kepada penghina agama, kata Mujahid

Cadang pinda kanun keseksaan beri hukuman setimpal kepada penghina agama, kata Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof akan mencadangkan pindaan pada akta Kanun Keseksaan bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan ke atas penghina agama.

Katanya, beliau akan mencadangkan perkara itu pada sesi persidangan Parlimen Mac ini untuk mendapatkan kelulusan daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat (Speaker) untuk dimasukkan dalam kertas cadangan.

“Ya, Mac ini di sesi Parlimen, saya akan kemukakan cadangan ini dan kita akan tunggu giliranlah bila ianya dapat dibentangkan.

“Tujuannya adalah kita mahu memastikan penghina agama ini mendapat hukuman yang sama berat dengan kes jenayah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Standard Penarafan Masjid di Wilayah Persekutuan dan Penyampaian Watikah Jawatankuasa Kariah Masjid dan Surai Jumaat Sesi 2018-2020 di Dewan Serbaguna Majis Wilayah seperti dipetik MG hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mujahid berkata, beliau dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh menerima penghina Nabi Muhammad dan agama Islam dan akan pertahankan junjungan besar itu.

“Jangan main dengan isu Nabi. Jangan main dengan api. Sesiapa yang hina Nabi ibarat menghina umat Islam,” tegas beliau.

Mengenai penghina agama yang baharu tular dan melibatkan perempuan bukan Cina, beliau berkata, apa yang ditular itu adalah kes tahun 2013 yang telah selesai dan penghinanya telah dijatuhkan hukuman.

Katanya, pihak tertentu sengaja membangkitkan semula di laman sosial seolah ia kes baharu dan akhirnya beliau serta kerajaan PH mendapat kecaman masyarakat kerana kononnya tidak bertindak tegas.

Berhubung ugutan pihak tertentu untuk mengadakan perhimpunan bagi membantah tindakan polis membebaskan penghina Nabi Muhammad yang bernama Foo Sing Wai, beliau menjelaskan, kumpulan itu mempunyai tujuan politik.

“Saya sudah jelaskan dengan tegas, saya tidak boleh menerima penghinaan Islam, Kalau ada kes seumpama itu, saya mahu penghina terbabit cepat-cepat ditangkap, didakwa dan dijatuhkan hukuman.

“Jangan sembang hanya kamu sahaja yang pertahankan Islam, saya dan kerajaan PH juga mempertahankannya,” katanya.

Dr. Mujahid berkata, segala tohmahan terhadap dirinya termasuk tuduhan mengatakan beliau tidak bertindak dan bertanyakan dirinya di mana, akan dijawab dengan tenang menerusi akaun rasmi Facebooknya