Malaysia Dateline

Cadangan Azmin kaji semula lantikan MPP untuk kebaikan bersama

Cadangan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali supaya Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkaji semula lantikan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang telah diumumkan adalah untuk kebaikan jangka masa panjang parti.

Malah saranan Azmin agar meneliti semula lantikan tersebut menjurus untuk memantapkan dan mengukuhkan parti.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha PKR Cabang Bagan, Mohd Azmin Md Noor semalam.

Jelas beliau lagi, walaupun telah dinyatakan oleh Anwar bahawa lantikan tersebut mewakili semua bangsa, pelbagai peringkat umur dan melibatkan semua negeri, tetapi ia masih mempunyai beberapa jurang yang perlu diberi perhatian.

“Terdapat beberapa kelopongan yang harus diberi pertimbangan agar segala kekurangan yang ketara dan nyata dapat diperbetulkan dengan segera.

“Selepas pemilihan parti, seharusnya sudah tidak ada lagi mana-mana kumpulan atau pun ‘team’.

“Tidak harus lagi ada mana-mana ‘team’ sama ada melibatkan Azmin Ali (AA) maupun ‘team’ Rafizi Ramli (RR), ” ujarnya lagi.

Tegasnya, lantikan yang telah diumumkan dilihat lebih cenderung kepada kumpulan RR sedangkan telah dilaung-laungkan saf perlu dirapatkan selepas pemilihan parti.

Namun begitu katanya, adalah diharapkan apa yang dilaungkan semasa kempen baru-baru ini menjadi realiti dengan tidak meminggirkan mana-mana ahli maupun pimpinan.

“Sebarang pertikaian sekiranya ada haruslah diselesaikan dengan cara berhemah dan musyawarah.

“Jalan terbaik adalah dengan menggunakan saluran dan kaedah yang betul sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan parti.

“Rapatkan saf dan teruskan perjuangan untuk membela nasib rakyat setelah rakyat memberi mandat yang amat besar sehinggakan Pakatan Harapan (PH) berjaya melangkah ke Putrajaya pada Mei yang lalu,” tambahnya lagi.

Sejajar dengan itu katanya, kebijaksanaan Presiden mampu untuk menyelesaikan kemelut sedia ada demi kebaikan dan masa depan parti serta juga sokongan rakyat terhadap PH.