Malaysia Dateline

Cadangan bekas menteri kesihatan tukar teknik ujian Covid-19 disokong

Cadangan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menukar kaedah ujian Covid-19 kepada ujian screening atau saringan menggunakan RTK-Ag disokong oleh seorang lagi pakar perubatan.

Pakar Kesihatan Kanak-kanak, Dr Zaidi Zakaria berkata, ini kerana ujian ini boleh mendapat keputusan yang lebih cepat (setengah jam hingga 2 jam) walaupun ketepatan hasilnya tidak baik sebagaimana ujian RT-PCR yang keputusannya hanya boleh diperolehi selepas 48 jam.

Turut mencadangkan kaedah ini adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana harganya lebih murah dan mampu dibuat ke atas lebih ramai orang.

Sebelum ini, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa kerajaan perlu menggunakan teknik Rapid Test Kit (RTK) Antigen atau kit ujian pantas untuk tujuan diagnosa Covid-19 ekoran peningkatan kes yang semakin tidak terkawal.

Beliau berkata, dengan kadar positif yang dijangkakan kurang dari lima peratus oleh WHO, Malaysia perlu meningkatkan kapasiti ujian sehingga 200,000 sehari dengan menggunakan kit pantas RTK Antigen.

Namun menurutnya, kerajaan gagal berbuat demikian kerana masih menggunakan teknik Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) yang mengambil masa lebih dua hari untuk mendapat keputusan ujian.

Menurut Dr ZaidiĀ  yang merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, terdapat dua jenis ujian Covid-19 yang utama iaitu RT-PCR yang dianggap sebagai ujian ‘Gold Standard’ dan harganya di hospital swasta adalah diantara RM350 hingga RM400, namun kelemahannya ialah keputusan ujian adalah dalam tempoh 48 jam.

Walau bagaimana pun ianya baik untuk ujian diagnosis, tetapi kurang sesuai untuk ujian ‘screening’ kerana tempoh yang lambat selama 48 jam, sebaliknya sekiranya ia positif maka bererti sudah 48 jam sebelumnya ia boleh menjangkiti orang lain dalam tempoh tersebut.

Tegasnya, Rapid-PCR pula dianggap setanding dengan RT-PCR yang dinyatakan sebelum ini kerana harganya di hospital swasta adalah diantara RM250 hingga RM300 dan kelebihannya ialah keputusan dapat diperolehi dalam tempoh ujian 2 jam sahaja serta ianya baik untuk ujian diagnosis dan juga ujian ‘screening’.

“Bagi ujian RTK-Ag pula ia mempunyai ‘efficacy’ atau ketepatan yang rendah dan ujian negatif pula tidak bermakna ianya benar-benar negatif serta istilah perubatannya pula adalah ‘false negative’.

“Sehubungan itu, ianya adalah tidak sesuai untuk ujian diagnosis, sebaliknya sesuai untuk ujian ‘screening’ dan harganya pula murah diantara RM150 hingga RM200 serta kelebihannya ialah keputusan ujiannya cepat dalam tempoh 2 jam dan murah.

“Harga-harga tersebut adalah purata harga-harga di hospital swasta dan harga modalnya kemungkinan satu pertiga dari harga tersebut dan persoalan yang timbul kenapa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak lagi menjalankan ujian ‘screening’ ke atas kontak rapat yang tidak bergejala, ” soal beliau.

Tambahnya, persoalan yang timbul ialah bagaimana hendak membuat ujian atau ‘test’ tersebut terhadap mereka yang tidak bergejala setelah KKM tidak lagi membuat ujian tersebut.