Malaysia Dateline

Cadangan bina terowong mega untuk selesai masalah banjir hanya omong kosong

Rakyat dijanjikan bulan dan bintang, tetapi yang diperoleh hanyalah butiran pasir di pantai.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan bahawa pihak kementerian beliau akan bekerjasama dengan Jabatan Perairan dan Saliran untuk membina sebuah terowong mega sebagai penyelesaian jangka masa panjang untuk masalah banjir kilat yang kerap berlaku.

Namun begitu, cadangan yang diutarakan bersifat omong kosong.

Sebelum ini pihak kerajaan banyak menjanjikan solusi-solusi bagi menyelesaikan masalah rakyat namun sehingga ke hari ini kebanyakan solusi-solusi ini kekal sebagai cadangan yang senantiasa “dalam kajian”.

Sudahlah begitu, projek terowong mega ini juga memakan masa tiga hingga lima tahun untuk diselesaikan.

Sebelum ini, beberapa individu dan organisasi sudahpun mencadangkan beberapa jalan penyelesaian untuk menangani masalah ini, termasuklah untuk tidak mengusahakan pembangunan dan projek perumahan di kawasan kolam takungan banjir.

Namun, cadangan-cadangan ini diketepikan bagi memberi ruang untuk projek yang sepertinya akan menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

Dalam pada itu, projek terowong mega ini juga tidak mendapat rundingan daripada penduduk, pihak-pihak berkaitan dan wakil rakyat di Kuala Lumpur sebelum ia diumumkan oleh Menteri semalam.

Di dalam permasalahan ini, Menteri Wilayah Persekutuan diseru untuk mengusahakan komunikasi melalui sesi “town hall” bersama penduduk ibu kota serta badan-badan terlibat.

Komunikasi-komunikasi khusus seperti ini penting supaya bukan sahaja masalah banjir dapat dikenal pasti, permasalahan khusus dari pelbagai pihak juga dapat diketenghahkan.

Selain itu, pihak kementerian beliau juga diseru untuk menyatakan bajet untuk projek tersebut serta apakah projek tersebut akan diberikan melalui tender terbuka atau tidak.

Budaya merangka cara dari bilik berdingin hawa perlu dihentikan, angkat kaki dan libatkan diri di dalam situasi.