Malaysia Dateline

Cadangan buat Dr Noraini Ahmad, Menteri Pendidikan Tinggi

Saya difahamkan Menteri KPT, Dr Noraini Ahmad cuba menggunakan #SiswaJagaSiswa sebagai platform untuk dijadikan projek membantu mahasiswa.

Saya menghargai dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Noraini atas keprihatinan tinggi YB namun sedarkah beliau bahawa hashtag #SiswaJagaSiswa digerakkan kerana kegagalannya dalam menguruskan KPT?

Kita sedia maklum kes Covid19 meningkat bermula daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah malah beberapa orang kontak terdekat Dr Noraini juga telah positif Covid19 termasuk salah seorang pembantunya namun YB langsung tidak mengambil langkah pencegahan dengan memaklumkan paling kurang seminggu awal kepada para pelajar.

Hal ini sekaligus bukan sahaja menyusahkan pelajar malah pihak ibu-bapa pelajar itu sendiri. Hari ini Dr Noraini tanpa segan silu ingin menggunakan platform Siswa Jaga Siswa kononnya ingin membantu mahasiswa.

Buat Dr Noraini, untuk menghantar bantuan pada mahasiswa anda tidak perlu menggunakan hashtag tersebut cukuplah sekadar memahami peranan anda sebagai seorang menteri. Ya, hashtag ini bukan milik sesiapa tetapi ia dipopularkan akibat ketidakcekapan anda sebagai seorang menteri.

Mungkin Dr Noraini perlu keluar dari kepompong Tik Tok beliau dan sedar diri peranan seorang menteri bukan mengambil kredit atas usaha orang lain sebaliknya mencari inisiatif sendiri untuk membantu para pelajar.

Antara usaha yang Dr Noraini boleh lakukan seperti fokus memberi bantuan laptop kepada pelajar golongan B40 yang mungkin tidak mampu mengikuti pembelajaran atas talian (e-learning) berikutan tidak mempunyai komputer peribadi, memastikan para pelajar yang terkandas di asrama atau rumah sewa cukup keperluan makanan dan minuman dengan menubuhkan one stop centre untuk mengagihkan makanan kepada para pelajar, atau juga memberi kemudahan akses internet percuma supaya mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran lebih-lebih lagi pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman.

Dr Noraini juga boleh menggunakan posisinya untuk meminta pihak universiti membatalkan yuran sewa asrama untuk para pelajar sepanjang tempoh pandemik ini bahkan berkolaborasi dengan pihak universiti untuk memastikan kebajikan para pelajar terjamin.

Jika perkara sebegini pun Dr Noraini tidak dapat fikirkan saya melihat begitu lemahnya kepimpinan Dr Noraini dalam mengendalikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Beliau juga boleh cuba “counter narrative” dengan hashtag #KPTjagasiswa atau #MahasiswaBersatu bagi memperlihatkan gerak kerja beliau dan tidak perlu ambil kredit hasil usaha mahasiswa yang bergolok-gadai turun ke bawah di saat beliau bingung apa yang perlu dilakukan.

Di saat genting ini saya kira perseteruan politik wajar diketepikan dan berharap cadangan saya dapat diterima oleh Dr Noraini Ahmad.
——————————
Penulis adalah aktivis politik di Terengganu.